Sindiket penipuan pelaburan dalam talian tumpas

Antara rampasan barang susulan tumpasnya sindiket penipuan pelaburan atas talian dalam serbuan Jumaat lalu.
Antara rampasan barang susulan tumpasnya sindiket penipuan pelaburan atas talian dalam serbuan Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian yang didalangi warga China terbongkar dalam satu serbuan di Lembah Klang pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, seramai 12 warga China termasuk dua wanita berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun, ditahan.

Menurutnya, pelbagai barang dirampas dalam serbuan itu, antaranya tujuh unit komputer riba, 125 unit telefon bimbit, barang kemas seperti cincin dan rantai leher, wang tunai berjumlah RM27,222 serta mata wang asing.

"Siasatan mendapati sindiket ini beroperasi sejak September tahun lalu dengan menjadikan kondominium dan hotel mewah sebagai pusat mereka beroperasi. Sindiket ini dikesan mempromosikan tawaran pelaburan saham menerusi aplikasi WeChat dan menyasarkan mangsa di negara China.

"Bagi meyakinkan mangsa, sindiket akan menyarankan mereka membuat pelaburan berskala besar dan segala urusan niaga dilakukan secara maya menerusi aplikasi WeChat dan Alipay," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara barangan yang dirampas berikutan tumpasnya sindiket penipuan pelaburan dalam talian pada Jumaat lalu.
Antara barangan yang dirampas berikutan tumpasnya sindiket penipuan pelaburan dalam talian pada Jumaat lalu.

Zainuddin berkata, suspek terbabit disyaki menerima gaji sebanyak RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.

"Malah, premis yang dijadikan sebagai 'calling center' (pusat panggilan) itu disewa dengan harga RM9,000 hingga RM13,000 sebulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan awal mendapati kegiatan sindiket berkenaan tidak membabitkan warga tempatan.

"Kesemua suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Berkenaan statistik 'calling centre' yang didalangi warga China, Zainuddin berkata, sebanyak 68 serbuan dilakukan polis membabitkan 868 tangkapan pada tahun lalu.

"Pada tahun ini sehingga 23 Oktober lalu, sebanyak 60 serbuan dilakukan dengan 617 tangkapan dilakukan.

"Kesemua tangkapan ini membabitkan warga China yang terlibat dalam kes penipuan pelaburan, saham dan judi dalam talian," katanya.