Suspek larikan MPV polis direman empat hari

Kereta MPV PDRM yang berjaya ditemui semula di Shah Alam.
Kereta MPV PDRM yang berjaya ditemui semula di Shah Alam.
A
A
A

KEPALA BATAS - Dua beradik yang melarikan kereta peronda (MPV) model Honda Civic 1.8S milik Polis Diraja Malaysia direman empat hari untuk siasatan lanjut.

Perintah reman turut dikeluarkan terhadap seorang perempuan berusia 20-an yang ditangkap bersama salah seorang suspek di Shah Alam awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka kini disiasat mengikut Seksyen 379A dan 170 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan menyamar sebagai anggota polis.

Menurutnya, dua suspek yang ditangkap di Shah Alam telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU semalam dan mereka dijangka akan dihadapkan ke mahkamah pada Rabu ini selepas semua siasatan dilengkapkan.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap mereka mendapati kesemuanya positif dadah.

"Kita percaya mereka di bawah pengaruh dadah ketika menceroboh masuk ke dalam IPD dan menyamar sebagai anggota polis sebelum melarikan kenderaan MPV," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Semalam Sinar Harian melaporkan dua beradik melarikan sebuah kereta peronda polis selepas menyamar sebagai anggota polis dari bahagian Sumber Teknologi Maklumat dalam kejadian yang berlaku di IPD Seberang Perai Utara kira-kira jam 9.15 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik larikan MPV polis

Artikel Berkaitan:

Difahamkan ketika kejadian terdapat seorang anggota polis yang bertugas sebagai penyelia MPV namun terpedaya dengan penyamaran dua beradik berkenaan yang kononnya ingin membuat pemeriksaan ke atas kamera (dashcam) pada MPV tersebut.

Sumber sebelum ini berkata, salah seorang suspek mengambil kunci kenderaan di rak sebelum meninggalkan sebuah komputer riba.

Katanya, kejadian itu berlaku sangat pantas dan suspek terus memecut kereta MPV tersebut keluar dari pekarangan IPD SPU berkenaan tanpa sempat penyelia berbuat apa-apa.

Bagaimanapun, MPV itu dikesan di Shah Alam, Selangor dan polis berjaya menahan suspek bersama seorang wanita berusia 20-an dipercayai teman wanitanya yang berada dalam kenderaan tersebut.

Polis turut menahan seorang lelaki yang merupakan adik kepada suspek (pemandu MPV) di Tasek Gelugor di sini, awal pagi semalam bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Noorzainy berkata pihaknya juga akan menyiasat dakwaan kononnya perempuan berusia 20-an itu diugut dan diculik oleh suspek di sebuah kedai di Tasek Gelugor.

Katanya, sebelum ini rakan perempuan terbabit mendakwa suspek datang ke tempat kerjanya dengan menyamar sebagai anggota polis dan melakukan ugutan sehingga menyebabkan perempuan itu takut.

"Siasatan lanjut sedang dilakukan mengenai dakwaan itu dan perkembangan lanjut mengenai kes ini akan dimaklumkan selepas siasatan selesai," katanya.