X

Kindly register in order to view this article
!

Penjawat awam jangan terlibat pergelutan politik: Cuepacs

Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan penjawat awam supaya tidak terlibat dengan pergelutan politik yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat sebaliknya meminta penjawat awam untuk terus fokus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara dalam usaha menangani gelombang ketiga penularan koronavirus (Covid-19) di negara ini.

“Ketika ini kerajaan dan penjawat awam bukan sahaja bertungkus lumus mencegah penularan Covid-19, malah giat melaksanakan pelbagai agenda serta program memulihkan semula ekonomi negara.

“Walau apa jua tekanan dan cabaran yang dihadapi ketika ini, Cuepacs yakin penjawat awam mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa dipengaruhi oleh kemelut politik ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs menggesa semua ahli politik untuk mengetepikan ideologi, perbezaan dan perbalahan buat sementara waktu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Menurutnya, pertikaian politik yang tidak berkesudahan akan menjejaskan usaha mencegah penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Petugas barisan hadapan sudah terlalu penat untuk menghadapi situasi yang sama setiap hari.

“Jika perkara ini berterusan, Cuepacs bimbang motivasi kerja penjawat awam terutama petugas barisan hadapan akan luntur kerana merasakan terpaksa melakukan kerja-kerja yang tiada berkesudahan tanpa sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Justeru, beliau berkata, ahli politik perlu duduk semeja berbincang memutuskan mekanisme terbaik untuk membantu rakyat yang semakin tertekan dengan situasi semasa politik dan peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

“Sekiranya pemimpin politik benar-benar ikhlas dalam menjaga kebajikan rakyat, akurlah dengan gencatan politik yang dicadangkan. Berikan tumpuan sepenuhnya terhadap usaha membantu rakyat,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!