Rintihan Tan Sri Dr Noor Hisham perlu didengari

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua-ketua parti politik perlu mendengar rintihan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengingatkan semua pihak bersatu dalam melawan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam telah menolak cadangan pengisytiharan darurat dan menyeru semua ahli Parlimen untuk menghentikan segala tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan pemerintahan negara.

"Untuk maksud itu, kerajaan cuma perlu mencari pendekatan bijaksana untuk mengelakkan politiking yang keterlaluan daripada semua parti-parti politik.

"Tetapi bagaimana caranya sedangkan parti-parti politik ini bertentangan ideologi buat sekian lama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat buat masa ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu libatkan semua ketua parti untuk duduk semeja berbincang sesama sendiri berhubung keadaan semasa yang dihadapi kini.

"Cari titik temu yang melibatkan kepentingan awam dan kesejahteraan rakyat daripada segi dampak keselamatan, kesihatan, ekonomi dan ketenteraman awam.

"Mereka juga perlu dengar rintihan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengingatkan keperluan untuk kita semua bersatu padu melawan Covid-19 dan bukannya berlawan antara satu sama lain serta belajar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Beliau juga turut mengingatkan bahawa petugas barisan hadapan (frontliners) telah bertahan selama 10 bulan, siang dan malam, mereka mula letih secara mental serta fizikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, ketua-ketua parti politik juga perlu bersetuju dengan suatu tempoh untuk membubarkan parlimen atau sekurang-kurangnya sehingga kes Covid-19 reda dan ekonomi bertambah baik.

"Dengan cara ini sahaja, saya percaya semua ahli-ahli parlimen mampu direkonsiliasikan untuk fokus kepada satu perkara, iaitu bersama-sama menyelamatkan negara dan rakyatnya," katanya.