Tolak darurat: Ambil pengajaran mematangkan

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua pihak diminta mengambil pengajaran yang mematangkan selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangan mengisytiharkan darurat semalam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kebijaksanaan Seri Paduka Baginda membuat keputusan itu meyakinkan bahawa Institusi Raja sentiasa mengutamakan denyut nadi rakyat, meraikan demokrasi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Menteri Besar Johor tersebut berkata, keputusan itu juga memaparkan keyakinan Seri Paduka Baginda terhadap keupayaan sistem kesihatan Malaysia dan kemampuan penjawat awam serta rakyat mengatasi pandemik koronavirus (Covid-19).

"Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Raja-Raja Melayu melakukan perkara yang sangat bijaksana dengan tidak mengisytiharkan perintah darurat seperti dicadangkan kerajaan. Seri Paduka Baginda dan Raja-raja Melayu mengambil kira kepentingan rakyat dengan sebenar-benarnya.

"Keputusan Istana Negara bahawa tiada keperluan mengisytiharkan darurat secara tidak langsung memberi makna yang selayaknya kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya ia tidak digunakan sewenang-wenangnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Seri Paduka Baginda bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini dan kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan untuk membendung penularan Covid-19.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Yang di-Pertuan Agong tolak cadangan darurat

Artikel Berkaitan:

Raja-raja Melayu mahu mekanisme semak, imbang dihormati

Keputusan Agong perkukuh sistem Raja Berperlembagaan: Anwar

Kerajaan PN sambut baik nasihat Agong pastikan kestabilan kerajaan