Kesilapan selekoh pertama jejas peluang Kasma Daniel

Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel terjatuh pada selekoh pertama bersama dua pelumba lain pada Grand Prix (GP) Teruel di Litar Aragon, Sepanyol semalam.
Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel terjatuh pada selekoh pertama bersama dua pelumba lain pada Grand Prix (GP) Teruel di Litar Aragon, Sepanyol semalam.
A
A
A

KESILAPAN ketika melalui selekoh pertama pada pusingan awal menjadi punca pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin gagal menamatkan perlumbaan sekali gus terlepas peluang mengutip sebarang mata pada Grand Prix (GP) Teruel di Litar Aragon, Sepanyol semalam.

Pelumba pasukan OneXOX TKKR SAG Team itu terjatuh pada selekoh pertama bersama dua pelumba lain iaitu Tetsuta Nagashima dari Jepun dan Thomas Luthi dari Switzerland, masing-masing daripada pasukan Red Bull KTM Ajo dan Liqui Moly Intact GP.

"Untuk perlumbaan pada kali ini, kami telah membuat sedikit penambahan pada jentera saya dan kru pasukan sudah memperoleh pelarasan yang agak bagus.

"Saya mohon maaf kepada pasukan (di atas kesilapan berkenaan), dan saya akan terus belajar dan berusaha dengan lebih baik untuk perlumbaan akan datang," katanya selepas perlumbaan melalui rakaman audio kepada media Malaysia.

Seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang mewakili pasukan Team Aspar Moto2, menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 daripada 23 pelumba dengan mencatat masa 39 minit 53.962 saat (s) pada perlumbaan 21 pusingan itu.

Walaupun Hafizh Syahrin berjaya mengutip tiga mata pada perlumbaan itu, beliau turun dua anak tangga ke kedudukan ke-20 dalam kedudukan carta Kejuaraan Dunia Moto2 dengan mengutip 21 mata, manakala Kasma Daniel masih gagal mengutip sebarang mata selepas 12 perlumbaan.

Pelumba British Sam Lowes daripada pasukan EG 0,0 Marc VDS, meraih kemenangan ketiga berturut-turut musim ini selepas merekodkan 39:27.645s, diikuti dua pelumba Itali, Fabio Di Giannantonio dari pasukan Lightech Speed Up dan Enea Bastianini dari pasukan Italtrans Racing Team, masing-masing dengan catatan masa 8.425s dan 10.871s di belakang pendahulu.

Kejuaraan Motosikal Dunia akan diteruskan dengan perlumbaan GP Eropah (6 hingga 8 November) dan GP Valencia (13 hingga 15 November) di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol. - Bernama

Artikel Berkaitan: