Isyarat jelas konsep Raja Berperlembagaan bukan retorik

(Gambar fail) Kewibawaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu dalam menangani krisis politik negara.
(Gambar fail) Kewibawaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu dalam menangani krisis politik negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak permohonan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat merupakan isyarat jelas bahawa konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia bukanlah hanya sebuah dekorasi atau retorik.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, peristiwa semalam juga merupakan satu perkembangan baharu dalam urusan pentadbiran dan perundangan di Malaysia.

Menurutnya, keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat Perdana Menteri itu dikatakan kali pertama berlaku dalam sejarah negara dan tentunya ia disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya perhatikan Raja-raja Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah banyak memainkan peranan aktif dalam menyempurnakan salah satu fungsi semak dan imbang bagi mengelakkan kezaliman penindasan dan penyalahgunaan kuasa.

“Perkembangan ini juga sangat menarik khususnya apabila kita meneliti Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan sebelum ini bahawa Yang di-Pertuan Agong dikatakan terikat dengan nasihat Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainul Rijal berkata, perkara tersebut juga akan menarik perhatian ahli akademik, peguam dan mahkamah untuk kembali membaca dan mentafsir semula ramifikasi perundangan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bagi memahami sejauh mana nasihat Perdana Menteri mengikat Yang di-Pertuan Agong dan apakah perkataan ‘nasihat’ itu perlu ditafsirkan atau diberi makna harfiahnya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, seluruh rakyat Malaysia harus sedar bahawa Raja-raja Melayu merupakan salah satu struktur asas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Zainul Rijal
Zainul Rijal

“Walaupun kedua-dua konsep iaitu ‘Raja Berperlembagaan’ dan ‘Demokrasi Berparlimen’ itu tidak disebut secara spesifik dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi hal ehwal mengenai kedua-duanya dihurai panjang dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tanpa Seri Paduka Baginda, Perlembagaan itu sendiri tidak dapat dilaksanakan. Sistem perundangan di Malaysia mempunyai kaedah semak dan imbang melalui pembahagian kuasa antara pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Di Malaysia, di atas ketiga-tiga agensi pemegang kuasa tersebut, raja-raja memainkan kuasa untuk semak dan seimbang ketiga-tiga cabang tersebut,” jelasnya.

Mengenai perebutan kuasa yang terus berlaku di Malaysia, Zainul Rijal berkata, kemelut itu terjadi bukan semata-mata kerana terdapat golongan yang mahu merebut kuasa tetapi ia juga berpunca hasil daripada kegagalan untuk menguruskan kuasa itu sendiri.

“Hal ini bukan sahaja berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) tetapi juga dalam Pakatan Harapan (PH) dahulu. Malah, Barisan Nasional (BN) juga menghadapi masalah sama.

“Apabila sudah berada di puncak, kuasa rakyat diketepikan dan mereka hanya mahu mendengar apa yang mereka suka dengar bukan yang sepatutnya mereka dengar.

“Lebih teruk lagi, mereka hanya mahu mendengar dari golongan yang sealiran dengan mereka sahaja, meminggirkan golongan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), alim ulama dan mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik atau peribadi,” katanya.

Sehubungan itu, Zainul Rijal mengajak semua kumpulan tersebut untuk bersama-sama mengetepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kesejahteraan rakyat sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong.