'Arwah pernah luah hasrat berhenti kerja'

Anggota bomba mengusung jenazah mangsa lemas di Jeti Nelayan Sungai Pulai pagi tadi.
Anggota bomba mengusung jenazah mangsa lemas di Jeti Nelayan Sungai Pulai pagi tadi.
A
A
A

SABAK BERNAM - Penternak kupang yang ditemui lemas pagi tadi pernah memaklumkan hasrat kepada keluarganya untuk berhenti kerja dalam waktu terdekat.

Menurut kakaknya, Siti Zaharah Jamhari, 45, adiknya, Jam Md Ross, 43, yang bekerja mencari kupang di kelong sejak tiga tahun lalu itu ingin memulakan perniagaan kimpalan bersama dengan seorang rakannya.

"Arwah memang bercadang hendak berhenti tetapi dia mahu selesaikan kerjanya terlebih dahulu di kelong sebelum pulang semula ke darat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun Siti Zaharah berkata, hasrat anak kedua daripada lapan beradik itu tidak kesampaian sebaliknya keluarga menyambut jenazahnya pulang apabila ditemui lemas.

"Kami amat sedih dengan pemergian arwah yang disifatkan seorang anak yang baik kepada keluarga dan tidak banyak bercakap," katanya.

Katanya, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas seorang rakan Allahyarham datang ke rumah emaknya, Misnah Naiman, 68, di Kampung Banting pada jam 4.15 petang semalam.

"Kebetulan saya berada di rumah emak dan setelah mendapat perkhabaran itu kami hanya mampu berdoa agar arwah dalam keadaan selamat.

"Namun perancangan ALLAH itu pasti, kami reda sebaik mengetahui arwah ditemui dalam keadaan terapung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Siti Zaharah (dua dari kanan) bersama ibunya, Misnah (kiri) dan ahli keluarga menunggu jenazah Allahyarham Jam Md Ross di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
Siti Zaharah (dua dari kanan) bersama ibunya, Misnah (kiri) dan ahli keluarga menunggu jenazah Allahyarham Jam Md Ross di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Siti Zaharah berkata, keluarga terutama emak amat merindui Allahyarham kerana kali terakhir bertemu semasa Aidilfitri Jun lalu di rumah sewanya di Kampung Sungai Pulai, Sabak Bernam.

"Emak ada beritahu masih teringat kata-kata arwah yang minta halalkan makan dan minum serta memohon maaf andai ada kesalahan dilakukannya.

"Kami tak sangka, permohonan maaf itu merupakan kali terakhir emak dan arwah bertemu sebelum dia pergi buat selamanya," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang penternak kupang yang hilang selepas terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan sampannya yang terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai, Perairan Sabak Bernam ditemui lemas pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 9.20 pagi tadi oleh nelayan dalam keadaan terapung kira-kira 4.2 batu nautika dari tempat dia dilaporkan hilang semalam.

ARTIKEL BERKAITAN:Lemas mahu selamatkan bot hanyut

Penternak kupang dikhuatiri lemas