X

Kindly register in order to view this article
!

SK Seri Sentosa dibuka semula esok

SK Seri Sentosa akan dibuka esok.
A
A

NIBONG TEBAL - Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa di Jalan Victoria di sini yang sebelum ini diarahkan ditutup selama seminggu susulan terdapat kes jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) akan dibuka semula esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, sesi persekolahan di sekolah itu akan dijalankan seperti biasa selepas kerja pembersihan dan sanitasi dilakukan.

Beliau berkata, sehingga kini, hanya sebuah sekolah di negeri ini diarahkan tutup.

"Sekolah ini akan dibuka semula esok. Hanya seorang murid yang dikesan positif Covid-19 di sekolah berkenaan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Minggu lalu, SK Seri Sentosa ditutup selama seminggu bermula 20 Oktober susulan terdapat laporan kes positif Covid-19 di sekolah tersebut.

Arahan tersebut dikeluarkan JPN Pulau Pinang untuk kerja pembersihan dan sanitasi dijalankan.

Sebelum ini, SK Permatang Janggus di Penaga, Kepala Batas ditutup selama lapan hari selepas seorang guru wanita disahkan positif Covid-19 pada 1 Oktober lalu.

Guru wanita itu dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah sebelum beliau pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kedah.

Difahamkan guru wanita itu adalah isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang berkempen di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Kira-kira 600 murid di sekolah berkenaan menjalani ujian terbabit dan mereka diarahkan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan keluar.

ARTIKEL BERKAITAN: SK Seri Sentosa ditutup seminggu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!