KPDNHEP Terengganu sita barang berjenama tiruan

Zulfamy (tengah) menunjukkan sebahagian barang berjenama tiruan yang dirampas dalam operasi itu.
Zulfamy (tengah) menunjukkan sebahagian barang berjenama tiruan yang dirampas dalam operasi itu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menyita 1,110 barangan tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM37,683.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Zulfamy Mat Udi berkata, barangan berjenama tiruan seperti kasut, dompet dan pakaian itu dirampas dalam satu operasi di tapak ekspo jualan murah di bandar raya ini, Isnin lalu.

“Hasil operasi selama lapan jam itu, kita ada mengesan enam gerai menjual barang tiruan berjenama manakala sebuah gerai lagi mengadakan jualan murah tanpa menghantar notis kepada KPDNHEP.

"Semua barangan tiruan yang dirampas dibawa ke stor sitaan KPDNHEP di Chendering untuk tindakan lanjut,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan di bawah Peraturan 3, Peraturan- Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 iaitu peniaga tidak menghantar notis kepada pengawal.

"Operasi membanteras barang tiruan secara proaktif sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dengan tidak menjual barang tiruan di negeri ini.

“Oleh itu, kita minta penganjur kanival memastikan peniaga yang menyertai jualan ekspo mematuhi peraturan-peraturan seperti barang tiruan, cetak rompak, tanda harga, penentusahan alat timbang, keselamatan permainan dan peraturan agensi lain,” katanya.

Zulfamy berkata, operasi bermula jam 8 malam hingga 3 pagi itu dianggotai dua pegawai dan 17 anggota penguatkuasa KPDNHEP Terengganu.

Artikel Berkaitan: