X

Kindly register in order to view this article
!

SAKJ Kempas Baru nafi empat murid, guru positif Covid-19

SAKJ Kempas Baru ditutup sejak semalam sehingga 31 Oktober.
A
A

JOHOR BAHRU - Pentadbiran Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKJ) Kempas Baru menafikan berita yang tular di media sosial yang mendakwa terdapat empat murid dan seorang guru di sekolah itu positif wabak koronavius (Covid- 19).

Guru Besarnya, Ropinah Yahya berkata, pihaknya kesal dengan penyebaran palsu berita tersebut kerana setakat ini pihaknya tidak ada menerima sebarang laporan mengenai murid dan guru sekolah itu yang disahkan positif Covid-19.

"Berita palsu yang tular itu menyebabkan penduduk Kempas bimbang. Ramai yang bertanya kepada saya tentang sekolah.

"Kenyataan dikeluarkan oleh Exco Hal Ehwal Agama Johor, Tosrin Jarvanthi semalam mengenai penutupan sekolah sehingga 31 Oktober," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Tosrin memaklumkan dua SAKJ di Kempas membabitkan Sekolah Agama Taman Cempaka dan Sekolah Agama Kempas ditutup seminggu bermula semalam susulan penularan wabak koronavirus Covid-19 di kawasan berkenaan.

Notis penutupan SAKJ Kempas Baru.
Notis penutupan SAKJ Kempas Baru.

Katanya, penutupan kedua-dua sekolah agama berkenaan dibuat atas nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Exco itu berkata, penutupan Sekolah Agama Kempas melibatkan 1,790 murid dan 26 guru dibuat susulan arahan penutupan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohd Rahmat yang berada berhampiran sekolah agama berkenaan.

Sejak kelmarin tular rakaman audio suara mendakwa kawasan Kempas dikategorikan zon merah di mana dua sekolah telah dikenakan kuarantin termasuk SAKJ Kempas apabila empat murid dan seorang guru dikatakan positif Covid-19.

Menuruf Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) semalam, Kempas dikategorikan sebagai zon kuning.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!