Pembantu kedai makan maut terkena renjatan elektrik

Mangsa yang terkena renjatan elektrik sempat dibawa ke Hospital Kuala Kangsar sebelum disahkan meninggal dunia. Foto: ihsan pembaca
Mangsa yang terkena renjatan elektrik sempat dibawa ke Hospital Kuala Kangsar sebelum disahkan meninggal dunia. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pembantu kedai makan maut akibat terkena renjatan elektrik di sebuah kedai makan di Persiaran Lembah di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Mohamad Fauzi Musa, 30, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditemukan saksi dalam keadaan rebah dengan tangan masih memegang tiang besi khemah ketika cuaca hujan lebat.

"Hasil percakapan bersama pengadu dan pekerja, mangsa yang dalam keadaan basah dikatakan telah rebah secara tiba-tiba selepas selesai menghantar makanan kepada pelanggan.

"Setelah jatuh, pekerja lain cuba membantu dengan memegang badan mangsa, namun mendapati masih terdapat cas elektrik. Renjatan disyaki berpunca daripada aliran elektrik di tiang khemah tersebut," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa menemukan kesan gelap pada muka dan tangan.

"Lawatan di tempat kejadian mendapati punca elektrik khemah tersebut bersambung terus dengan kedai makan. Tiada apa-apa unsur jenayah secara fizikal dikesan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat serangan jantung disebabkan renjatan elektrik dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan: