'Kami ada tempoh kurang sebulan'

Salah seorang pendaki berada di puncak Gunung Tahan. (Atas: Wan Fariduddin Wan Ibrahim, Bawah: Khairul Nizam Abdul Rashid)
Salah seorang pendaki berada di puncak Gunung Tahan. (Atas: Wan Fariduddin Wan Ibrahim, Bawah: Khairul Nizam Abdul Rashid)
A
A
A

KUANTAN - Pengusaha perniagaan berkaitan pelancongan di Taman Negara di sini memerlukan masa untuk kembali menjana pendapatan stabil setelah kawasan berkenaan dibenarkan beroperasi semula baru-baru ini.

Pemilik Merapoh Adventure dari Sungai Relau, Merapoh di Lipis, Khairul Nizam Abdul Rashid berkata, sebahagian besar pengusaha dan pemandu pelancongan di Taman Negara masih tertekan dengan situasi berkenaan kerana tiada pekerjaan lain boleh dilakukan mereka selain bergantung penuh dengan kedatangan pelancong.

"Kami hanya ada sebulan lebih lagi untuk mencari pendapatan kerana biasanya pada 15 November hingga 15 Januari tahun depan, Taman Negara akan ditutup sekali lagi kerana musim tengkujuh. Pada masa sama keadaan cuaca dah masuk ke musim monsun menyebabkan hujan hampir setiap hari.

"Hal ini membuatkan pelancong berfikir dua kali untuk masuk ke hutan ditambah lagi dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa di Kuala Lumpur dan Selangor. Kebanyakan pelancong datangnya dari kawasan PKPB," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kelmarin, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi hantaran laman sosial Facebook mengumumkan bahawa Taman Negara Kuala Tahan dan Sungai Relau, Merapoh, Lipis, dibuka semula untuk dikunjungi.

Jabatan tersebut turut menyertakan prosedur operasi standard (SOP) tambahan seperti yang diarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Khairun Nizam berkata, bagi pendaki Gunung Tahan, SOP terbaharu ialah jumlah pendaki dikurangkan dalam satu hari kepada 10 orang sahaja untuk setiap kumpulan.

"Ini memberi masalah kepada kumpulan yang ada ramai pendaki yang kebanyakan daripada mereka ingin mendaftar dengan kumpulan melebihi 10 orang pendaki.

Artikel Berkaitan:

"Semua faktor itu memberi kesan kepada kedatangan pelancong dan kesan yang berpanjangan bagi kami," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Perkhemahan, Pendakian dan Pengembaraan (KChat Adventures), Wan Fariduddin Wan Ibrahim berkata, aktiviti berkaitan alam semulajadi diteruskan mengikut SOP, bagaimanapun ada yang terpaksa dihadkan dan ditangguhkan.

"Pada tahun ini, kelab menerima beberapa tempahan berkumpulan dan tarikh itu jatuh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Selama tempoh PKPB, nisbah Nature Guide dan pelancong berubah-ubah mengikut SOP dan ini menyukarkan kami menyusun perjalanan ahli," katanya.