Bekas pengarah syarikat hartanah didakwa perdaya bekas wartawan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah sebuah syarikat hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memperdaya seorang bekas wartawan berhubung pembelian lot banglo lapan tahun lalu.

Mohd Asri Hasan, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa memperdaya Faiza Zainudin, 60, berhubung pembelian lot banglo yang tidak wujud.

Tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM32,000 melalui akaun Maybank.

Kesalahan dilakukan di sebuah premis di Jalan Jelatek Satu, Jelatek Business Park, Selangor pada jam 4 petang, 5 Mac 2012.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar kadar itu dikurangkan atas alasan dia kini tidak lagi bekerja dan ditanggung oleh anak-anak.

Artikel Berkaitan:

Setelah mendengar permohonan kedua-dua pihak, Normaizan menawarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 kepada tertuduh dan menetapkan 9 Disember depan untuk lantikan peguam serta sebutan semula kes.