Geng Hassan Babu aktif pecah sekolah, pejabat tumpas

Shafa'aton (tiga dari kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan tumpasnya Geng Hassan Babu baru-baru ini.
Shafa'aton (tiga dari kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan tumpasnya Geng Hassan Babu baru-baru ini.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali 'Geng Hassan Babu' yang terlibat dalam kegiatan pecah masuk sekolah dan pejabat dalam serbuan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, geng berkenaan tumpas selepas penahanan tujuh lelaki berusia lingkungan 22 tahun hingga 39 tahun dalam empat serbuan Ops Pintu di sekitar Sungai Buloh pada 2 Oktober lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu turut dirampas pelbagai barang disyaki hasil jenayah dianggarkan bernilai RM25,000 antaranya 12 unit notebook, telefon bimbit (16), jam tangan (18) dan komputer riba (3).

"Siasatan mendapati geng ini terlibat dalam jenayah pecah sekolah, pejabat dan rumah yang diketuai suspek berusia lingkungan 30-an.

"Kita juga percaya geng ini mula aktif pada pertengahan tahun ini. Barang hasil jenayah geng ini kemudiannya akan dijual kepada individu, premis selain turut digunakan suspek terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.

Antara barang rampasan membabitkan Geng Hassan Babu yang berjaya ditumpaskan menerusi serbuan Ops Pintu di sekitar Sungai Buloh, baru-baru ini.
Antara barang rampasan membabitkan Geng Hassan Babu yang berjaya ditumpaskan menerusi serbuan Ops Pintu di sekitar Sungai Buloh, baru-baru ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Kami percaya dengan tumpasnya geng ini, polis berjaya menyelesaikan 10 kes di daerah Sungai Buloh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek kini masih direman di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sehingga 11 November depan dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes jenayah agar menyalurkan kepada kami bagi membantu membanteras kejadian jenayah khususnya di daerah Sungai Buloh," katanya.