KAF Wilayah Gua Musang akan majukan tanah terbiar

KAF Wilayah Gua Musang mahu mengembangkan ekonomi anak-anak Felda di Kelantan.
KAF Wilayah Gua Musang mahu mengembangkan ekonomi anak-anak Felda di Kelantan.
A
A
A

GUA MUSANG - Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Gua Musang akan memajukan tanah yang terbiar di negeri ini bagi mempertingkatkan sektor pertanian membabitkan anak muda di sini.

Pengerusinya, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya akan menumpukan kepada industri hiliran di setiap rancangan membabitkan 11 rancangan di Gua Musang dan tiga di Kemahang.

Menurutnya, inisiatif itu akan membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak Felda.

“KAF Wilayah Gua Musang melihat potensi yang sangat cerah dan luas untuk mengembangkan ekonomi anak-anak Felda dengan berbakti kepada tanah dan sumber alam.

“Lagipun sektor pertanian berkait rapat dengan sumber utama rantaian makanan negara dan pembangunan sektor pertanian ini amat ditekankan oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Sabtu lalu, KAF Wilayah Gua Musang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Keempat Tahun 2020 di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Syahbuddin berkata, beliau berharap setiap rancangan mengemukakan pelan strategik masing-masing bagi memajukan kawasan mereka memandangkan pimpinan KAF setiap rancangan terdiri daripada bekas pimpinan Majlis Belia Felda Malaysia.

Selain memberi fokus kepada kemajuan ekonomi, beliau berkata, KAF juga turut menekankan pembangunan sahsiah dan keharmonian warga Felda.

Artikel Berkaitan:

“KAF akan memastikan anasir-anasir yang boleh merosakkan keharmonian dalam Tanah Rancangan Felda dielakkan selain bergerak untuk membantu Pengurusan Felda berkaitan urusan ladang peneroka.

“Kami juga akan terus menyokong kepimpinan menteri yang bertanggungjawab pada Felda iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh,” katanya.