Jurulatih kena patuh arahan AFC

Sathianathan
Sathianathan
A
A
A

SYARAT yang mewajibkan jurulatih dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) khususnya bagi saingan Liga Super 2021 memiliki Lesen Pro Diploma Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sewajarnya dihormati dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, syarat berkenaan wajar dihormati dan dipatuhi kerana pada ketika ini terdapat lebih 30 jurulatih di negara ini yang telah pun memiliki lesen berkenaan, namun tidak berpeluang untuk menggalas tugas selaku jurulatih bagi mana-mana pasukan.

Malah menurutnya, kesemua jurulatih berkenaan turut membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi tujuan mendapatkan lesen berkenaan.

“Jika tak silap saya, sejak 2018 FAM mensyaratkan mulai 2020 semua jurulatih mesti ada lesen profesional dan ada jurulatih yang telah pun mengikuti kursus Lesen Pro A itu.

“Persoalan saya, kenapa ketika itu ada jurulatih yang tidak mengikuti kursus berkenaan hinggakan FAM terpaksa membawa orang luar bagi mencukupkan korum kursus.

“Lagi pun, ada yang dah berbelanja besar. Kalau tak diberi peluang saya takut orang tak akan ikut lagi kursus yang dianjurkan FAM, lagi pun buat apa nak membazirkan duit?” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sathianathan berkata demikian bagi mengulas permohonan beberapa jurulatih saingan Liga Premier 2020 yang tidak memiliki Lesen Pro A yang memohon kelonggaran untuk terus melatih pasukan masing-masing yang layak beraksi dalam saingan Liga Super 2021.

Sementara itu, menurut Sathianathan, biarpun kredibiliti serta pencapaian jurulatih berkenaan dilihat agak baik namun mereka tidak seharusnya mengenepikan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Ya, saya kagum dengan pencapaian mereka, tetapi dari sudut lain, kita ada ramai jurulatih yang ada Lesen Pro A ini dan mereka telah pun melaburkan banyak wang untuk tujuan itu,.

“Lagi pun, bagaimana pula untuk tahun hadapan jika ada pasukan Liga Premier yang jurulatihnya masih belum ada Lesen Pro A ini?," katanya.