Muhyiddin berdepan persepsi negatif

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Imej Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dilihat negatif oleh sebilangan rakyat Malaysia, kata Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri.

Achmad Dzariean berkata, ia susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam yang menolak pengisytiharan darurat yang dimohon kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Jumaat lalu.

“Akibat penolakan ini, saya kira persepsi tidak baik. (Imej Muhyiddin) akan dilihat negatif oleh sebilangan rakyat kita yang memerhati isu ini secara dekat.

“Selain itu, ia juga akan menimbulkan persepsi tidak baik kepada kepimpinan kerajaan kerana kerajaan sendiri tidak yakin dengan keupayaan dan kemampuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi-agensi lain.

“Saya rasa kerajaan seharusnya ambil iktibar penolakan ini dan terus bergerak ke hadapan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, Achmad Dzariean berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong semalam perlu disambut baik oleh semua pihak terutama ahli politik di negara ini.

Menurutnya, Mesyuarat Khas Raja-raja Melayu itu pastinya mempunyai maklumat yang lengkap mengenai keadaan sebenar yang berlaku di negara ini.

“Secara konsisten kita melihat kenyataan yang dikeluarkan setiap hari oleh KKM menyatakan bahawa keadaan pandemik Covid-19 sebenarnya terkawal walaupun mempunyai peningkatan kes baharu setiap hari.

Artikel Berkaitan:

“Jadi secara logiknya penyakit ini dilihat masih lagi di bawah kawalan kerana berlaku di kawasan terhad seperti penjara, pusat tahanan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim pula menyifatkan keputusan Al-Sultan Abdullah menolak pengisytiharan darurat dilihat sebagai satu keputusan terbaik untuk rakyat dan negara buat masa ini.

No Image Caption

Menurutnya, mesej paling penting yang cuba disampaikan Seri Paduka adalah supaya semua pihak tidak berpolitik dalam tempoh yang genting sekarang.

Katanya, Al-Sultan Abdullah selaku Payung Negara juga dilihat membuat keputusan yang bijaksana dan adil kepada semua pihak.

“Sama ada pemimpin politik daripada blok kerajaan atau pembangkang, Seri Paduka Baginda memberi isyarat supaya meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan tertinggi.

“Jangan mengambil kesempatan daripada krisis pandemik Covid-19 ini untuk mencatur kepentingan politik masing-masing dengan mengabaikan rakyat,” katanya.

Menurutnya, fokus paling penting yang perlu diutamakan ketika ini adalah isu kesihatan awam dan ekonomi yang sedang meruncing sekarang.

“Ini adalah keputusan bijaksana oleh Seri Paduka Baginda,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong memutuskan bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan Seri Paduka Baginda dengan Raja-raja Melayu dalam mesyuarat khas di Istana Negara.

Katanya, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan ketika ini berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik.

Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 daripada terus merebak.

No Image Caption