Bermula daripada pertikaman lidah dua kumpulan

A
A

Polis tahan dua lelaki, rampas beberapa senjata termasuk parang

SUBANG JAYA - Polis mengesahkan kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi semalam tidak melibatkan isu perkauman, sebaliknya pergaduhan antara dua kumpulan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, kejadian itu berpunca akibat pertikaman lidah antara dua kumpulan berhubung arahan memindahkan kuil tersebut yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini.

Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu adalah kes terpencil dan orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan isu perkauman.

“Hasil maklumat diterima, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.

"Sebuah kereta peronda dihantar ke lokasi. Bagaimanapun, cermin belakang kereta peronda itu pecah selepas dibaling batu oleh perusuh menyebabkan anggota bertugas meminta bantuan unit lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini.

Tambah Mazlan, pihaknya menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an selepas dipercayai terlibat dalam rusuhan tersebut.









Beberapa kenderaan yang diletakkan dalam kuil turut dipecahkan cerminnya.
Beberapa kenderaan yang diletakkan dalam kuil turut dipecahkan cerminnya.


Katanya, kedua-dua lelaki itu ditahan di Hospital Serdang ketika menjalani rawatan akibat kecederaan dialami selepas rusuhan itu.

“Kami juga menemui beberapa parang dan senjata digunakan dalam rusuhan berkenaan. Kejadian itu juga menyebabkan kerosakan di kuil terbabit.

“Pada masa sama, kami sedang menyiasat pemilik kenderaan yang dibakar dan meneliti jumlah keseluruhan kerugian dalam kejadian itu,” katanya.

“Buat masa ini, keadaan terkawal dan kita minta semua pihak bertenang dan jangan timbulkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan, bagi kita siasat dulu,” katanya.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia