Penulis, royalti dan realiti

No Image Caption
A
A
A

BEBERAPA hari lalu dunia hiburan tanah air dipanaskan dengan berita lebih RM30 juta royalti tidak dapat diagihkan kepada mereka yang berhak disebabkan dua pihak yang bertanggungjawab mengagihkannya menghadapi masalah.

Ia berita yang menambahkan kesugulan penggiat-penggiat seni yang terlibat, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi tidak menentu bahana pandemik Covid-19.

Isu itu cepat mendapat perhatian pihak berkenaan. Hanya selepas dua atau tiga hari, muncul berita yang mengurangkan – kalaupun tidak melenyapkan – resah dan sugul anak-anak seni itu. Royalti itu akan diagihkan selewat-lewatnya Disember nanti.

“Mereka beruntung kerana dipedulikan,” komen rakan saya, seorang penulis sewaktu sesi kopi-kopi, dan secara kebetulan bersembang sepintas lalu tentang isu RM30 juta itu.

Dan dia mula menceritakan tentang nasibnya. Tentang nasib ramai lagi penulis macam dia. Nasib orang yang jarang ditanya khabar oleh sesiapa.

Saya juga menulis. Walaupun telah menghasilkan sejumlah buku, juga menulis lirik, saya masih menganggap diri saya sebagai orang baharu dalam bidang yang bukan sahaja telah melahirkan banyak nama besar, tetapi juga turut mengorbankan tidak sedikit daripada nama-nama besar itu.

Puncanya? Penat lelah tidak dihargai. Sejak dahulu saya mempunyai lingkungan pergaulan yang agak luas dengan para penulis; tidak kiralah apa genre penulisannya.

Ketika zaman kanak-kanak, zaman pelajar, saya selalu membayangkan seronoknya menjadi penulis. Boleh menyewa hotel atau calet di tepi pantai, di atas gunung atau di tengah hutan, tulis dan tulis. Cukup masanya kutip royalti. Kalau bukunya laris, dicetak berkali-kali, maka melimpah ruahlah rezeki.

Artikel Berkaitan:

Tetapi hasil pergaulan dengan golongan penulis menghidangkan kepada saya realiti yang berbeza. Yang banyak saya dengar bukan cerita-cerita indah, sebaliknya rungutan dan keluhan. Cerita tentang royalti, honorarium, imbuhan atau apa juga seumpamanya, seakan kisah bersiri yang tiada titiknya.Punca keluhan adalah sikap penerbit. Bukan semua. Saya difahamkan ada penerbit yang sangat bertanggungjawab sehinggakan cek royalti bagi sebuah buku lama yang masih terjual tetap dihantar kepada penulisnya, walaupun cek itu cuma bernilai RM18.

Selain itu ada juga penerbit yang tidak bertangguh membayar royalti kepada si penulis sekalipun jumlahnya mencecah ratusan ribu ringgit.

Merudum

Malangnya, penerbit seperti itu tidak banyak. Dan penulis yang bernasib baik sedemikian juga tidak ramai. Yang ramai ialah yang terpaksa mendengar masalah penerbit.

Susah buat kutipan, ejen lari, buku rosak, kos naik mendadak dan pelbagai lagi. Maksudnya mudah, masalah dia (penerbit) penulis kena tumpang tanggung walaupun waktu senang lenang, dia beraya sendirian. Untuk mengelak daripada berhadapan dengan masalah seperti itu, ada penulis mengambil jalan mudah dengan menjual terus manuskrip karyanya, termasuk hak cipta.

Tidak mengapa jika harganya beribu-ribu, tetapi yang saya pernah dengar ada manuskrip buku cerita kanak-kanak dijual pada harga yang sama dengan sekilo udang galah. Sadis!

Nasib penulis menjadi lebih malang apabila industri buku merudum teruk sejak sedekad kebelakangan ini. Banyak syarikat penerbitan bungkus, membawa bersama royalti penulis-penulisnya. Yang masih bertahan, mempunyai cukup banyak alasan untuk menangguh atau mengurangkan pembayaran.

Yang membeli karya secara pukal mempunyai sebab untuk meletakkan harga ke tahap yang semakin tidak munasabah. Dan penulis, kadang-kadang didorong oleh naluri ghairahnya untuk berkarya, terpaksa pasrah, terpaksa menyerah.

Kita bukan lagi hidup pada zaman pari-pari, yang berasnya ada di bukit, lauknya ada di sungai. Kita hidup pada zaman tak pakai topeng muka pun boleh dikenakan denda.

No Image Caption

Jadi, berapa ramaikah yang boleh bertahan. Sudahlah peluang semakin sempit, alasan pula semakin banyak. Akhirnya seorang demi seorang akan perlahan-lahan berundur, perlahan-lahan menghilang.

Yang rugi akhirnya adalah negara kerana mereka yang hilang itu akan membungkam bersama-sama kreativitinya. Pada masa yang sama, apa yang mereka alami akan merencatkan minat generasi baharu untuk terjun ke bidang yang sama. Akhirnya yang malap bukan sahaja industri, tetapi juga kreativiti.

Sesuatu perlu dilakukan. Itu yang saya rasa. Tidak dinafikan kerajaan telah berusaha membantu, antaranya dengan mewujudkan Dana Industri Kreatif yang dibentangkan dalam Bajet 2010 dengan peruntukan RM200 juta untuk semua bidang yang berkaitan.

Jumlahnya besar. Tetapi di mana letaknya kelompok penulis dalam senarai yang layak menikmati dana itu? Industri kreatif di Malaysia, jika tidak silap saya, merangkumi tiga kategori iaitu Industri Kreatif Multimedia, Industri Kreatif Seni Budaya dan Industri Kreatif Warisan Budaya. Penulis kreatif diletakkan dalam Industri Kreatif Seni Budaya bersama-sama bidang kraf, seni visual, seni muzik, seni persembahan, fesyen serta tekstil.

Jadi, jaraknya agak jauh.

Saya juga difahamkan tidak mudah untuk mendapatkan dana itu. Laluannya berliku dan jarang mampu ditempuh oleh penulis-penulis kecil, tidak kira sebesar mana bakat mereka.

Seingat saya kerajaan juga mewujudkan Tabung Kebajikan Penggiat Seni, tetapi saya tidak pasti berapa ramaikah penulis yang pernah mendapat manfaatnya?

Suatu masa dahulu Perpustakaan Negara Malaysia menjadi tumpuan penulis kerana adanya Dana Penulis di mana pembelian buku dibuat secara terus kepada penulis, bukannya kepada penerbit. Tetapi tahun-tahun kebelakangan itu, skim tersebut agak sunyi sepi.

Dana

Tetapi isu di sini bukanlah tentang dana biaya, tentang tabung atau peruntukan khas sebaliknya tentang hak penulis yang diambil mudah oleh penerbit-penerbit yang tidak bertanggungjawab.

Apakah yang kerajaan patut buat untuk membantu menyelesaikan ‘jenayah’ ini? Ke pihak mana penulis boleh menyalurkan aduan? Pihak mana pula yang boleh membantu memudahkan tindakan?

Kalau dalam isu royalti muzik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) boleh memainkan peranan, dalam soal royalti penulis, kementerian mana pula patut campur tangan?

Atau mungkinkah ia harus bermula dari bawah? Penulis-penulis kembali duduk semeja, mewujudkan satu badan bertindak yang fungsi dan peranannya seperti Karyawan dalam industri hiburan. Gunakan badan itu sebagai pasukan pengawas dan kuasa pendesak.

Saya rasa inilah masanya untuk mereka bangkit. Tiada gunanya terus makan hati sebab bukan semua diam itu berisi.

* Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan