X

Kindly register in order to view this article
!

Integriti sebagai nilai universal

A
A

INTEGRITI ialah satu asas yang penting sebagai nilai yang dihayati oleh pekerja dan majikan dalam apa-apa saja agensi negara.

Hubungan antara rakan sekerja dan pasukan semua institusi serta agensi haruslah terbina di atas dasar kepercayaan dan keberkesanan kerjasama yang sihat sebagai satu pasukan yang bermoral dan beretika, untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang universal dan beramanah.

Apa-apa saja definisi integriti dan mutu kerja yang sering ditekankan adalah berasaskan unsur dan rukun ini dalam semua hasil kerja dan perkhidmatan.Setiap pekerja yang mempunyai nilai integriti yang menghayati nilai dan perhubungan sejagat dengan rakan sekerja, pelanggan dan majikannya, maka sifat amanah dan jujur dalam erti kata yang mendalam sering menjadi dasar dan falsafah serta pelaksanaan mereka dalam semua tugasan serta urusan yang dijalankan.

Kepimpinan negara haruslah terdiri daripada kalangan yang agak bebas dan bijaksana dalam pengurusan akal fikiran serta perasaan dalaman dan kerohanian, yang profesional dan bertangungjawab kepada falsafah hidup yang mulia dan kualiti adab serta tingkah laku yang membina.

Sesuatu institusi dan sistem hidup yang baik akan menjadi rosak binasa dan hancur lebur sekiranya ditangani dan diuruskan oleh pemimpin yang rosak akhlak dan rendah moral serta etikanya, yang bersifat keperibadian melulu dan sempit untuk kepentingan diri sendiri.

Kepimpinan institusi dan sebarang sistem juga haruslah diserahkan kepada tokoh-tokoh yang bukan hanya dapat menyelaraskan dan meningkatkan perhubungan sempit seperti kaum, agama dan lain-lain, malah yang peka dan dapat berlaku adil dalam urusan negara untuk semua kaum dan rakyat.

Beberapa asas dan falsafah hidup yang dikemukakan di atas adalah merupakan ciri-ciri penting dalam melaksanakan pembentukan kerajaan yang merupakan tiang seri negara dalam melaksanakan sistem kenegaraan yang berkebajikan, aman damai, makmur dan terkehadapan dalam bidang ekonomi, pendidikan, perhubungan antarabangsa dan sumbangan kepada keadilan setempat dan dunia umumnya.

Kita sedar bahawa orang yang mempunyai sifat ikhlas ini sering menarik perhatian awam untuk berinteraksi dan bekerjasama dengannya dalam segala bidang kehidupan dan agenda perjuangan kecil dan besar untuk kepentingan segala peringkat rakyat.

Contoh

Perilaku dan tindakan pekerja atau sesiapa saja yang menonjol dalam masyarakat besar dan kecil akan ternyata dalam tindakan dan contoh baik mereka dalam segala perilaku, bermula daripada yang kecil kepada yang besar dan penting.

Perhatikan contoh kecil berikut yang menggambarkan sifat keperibadian yang berintegriti seseorang itu: iaitu seorang wanita memasuki tandas wanita pada suatu hari. Dia menggunakan kertas tandas yang terakhir yang disediakan. Dia tidak mengharapkan bahawa kertas itu akan diisikan seterusnya oleh pekerja tandas, malah mencari tempat simpanan untuk mendapatkan kertas tandas yang baharu dan menggantikannya di tempat yang kosong itu untuk pengunjung tandas seterusnya. Pastinya hal itu mungkin mengambil masa hanya beberapa minit, tetapi perbuatannya pasti akan memudahkan pengunjung yang berikutnya.

Bagi rakyat umum yang beragama dan memahami nilai universal agama tentulah menyedari akan falsafah agama masing-masing sebagai ajaran sejagat, iaitu jangan mencuri, jangan menipu, jangan berbohong dan bersifat buruk.

Inilah sebenarnya beberapa pengajaran terbaru yang dipelajari oleh rakyat negara kita, yang pada masa kini kelihatan agak menderita dan hilang maruah, terutamanya ketika seluruh dunia menghadapi pandemik Covid-19, manusia masih samar-samar apakah sebenarnya normal baharu yang harus mereka lakukan.

Dalam konteks istilah dan perspektif universal, maka Islam telah meletakkan komitmen yang teguh terhadap kod etika yang tinggi, khususnya nilai-nilai moral yang baik, iaitu menerusi sistem yang lebih komprehensif kerana konsep Sarwajagat atau world viewnya adalah menyepadukan dunia dan akhirat, fizikal dan spiritual, berpandukan ajaran ALLAH dan Rasul-Nya.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!