Pengakhiran yang tidak memuaskan

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS berbulan menunggu, akhirnya kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sampai ke penghujungnya.

Mengimbau semula bagaimana isu itu tercetus, pada bulan Ogos yang lepas, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok telah mendedahkan di dalam Dewan Rakyat bahawa Mohd Khairuddin telah pergi ke Turki pada 3 Julai 2020 dan tidak mengkuarantin diri selepas pulang ke Malaysia.

Pada masa itu, alasan yang diberikan adalah beliau telah menjalankan ujian Covid-19 dan didapati negatif.

Kemudian pada 22 Ogos 2020, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa Khairuddin telah melanggar kuarantin dan telah dikeluarkan notis kompaun sebanyak RM1,000 pada 7 Ogos 2020. Khairuddin dikatakan telah membayar notis tersebut.

Namun demikian, dilaporkan bahawa polis akan menyiasat menteri tersebut. Selama beberapa bulan, kertas siasatan kes tersebut telah berulang-alik antara pihak polis dan Jabatan Peguam Negara.

Akhirnya pada 21 Oktober 2020, telah diumumkan oleh pihak polis dan disahkan oleh Peguam Negara sendiri bahawa kes Khairuddin telah diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’, atau ‘NFA’. NFA ini bermaksud Peguam Negara tidak akan mendakwa Khairuddin.

Alasan yang diberikan adalah bahawa pihak berwajib tidak mengeluarkan borang 14B kepada Khairuddin untuk mengarahkan menteri tersebut supaya menjalani kuarantin.

Oleh kerana tiada arahan kuarantin, maka Khairuddin dikatakan tidak melanggar kuarantin dan tidak boleh didakwa.

Artikel Berkaitan:

Keputusan Peguam Negara ini rata-rata mendapat sambutan yang negatif daripada orang ramai. Ramai yang berasa marah dan melihat ini sebagai bukti bahawa kerajaan mengamalkan double standard dalam melaksanakan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia. ‘Rotan Abah’, bagi mereka, tidak sampai menterinya sendiri.

Keputusan Peguam Negara ini adalah pengakhiran yang tidak memuaskan kepada kes Khairuddin. Ia menimbulkan banyak persoalan yang tidak dijawab.

Antaranya, mengapa menteri tersebut tidak diarahkan supaya mengkuarantin diri, tidak seperti rakyat biasa yang pulang dari luar negara?

Sekiranya benar Khairuddin tidak diberikan borang tersebut dan tiada arahan kuarantin, mengapa pula KKM mengenakan kompaun ke atasnya pada 7 Ogos 2020?

Dari sudut politik, pengakhiran kes Khairuddin ini akan menghantui Perdana Menteri dan kerajaan. Dalam situasi di mana populariti beliau semakin merudum akibat cara kerajaan mengendalikan gelombang ketiga Covid-19, keputusan Peguam Negara ini sudah tentu akan menyumbang kepada persepsi negatif terhadap kerajaan.

Rakyat akan melihat bahawa seakan-akan terdapatnya dua darjat dalam pelaksanaan undang-undang dan peraturan; satu untuk rakyat dan satu lagi untuk menteri dan yang dekat dengan mereka yang berkuasa.

Sekiranya persepsi ini berterusan, ia mungkin akan membawa kesan buruk kepada kelangsungan kedaulatan undang-undang dalam negara. Jika rakyat mula hilang keyakinan terhadap sistem perundangan, mereka mungkin tidak akan teragak-agak untuk melanggar undang-undang.

Kerajaan dan pihak berwajib harus memandang serius perkara ini dan berusaha untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap undang-undang negara. Jangan dipandang enteng persepsi rakyat terhadap pelaksanaan undang-undang negara.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur