X

Kindly register in order to view this article
!

Andainya berlaku darurat

A
A

PERSOALAN darurat muncul tiba-tiba dan menjadi isu paling hangat minggu ini. Ramai juga yang tertanya-tanya apakah darurat politik sama seperti darurat yang pernah dialami dahulu? Lalu, pembelian panik berlaku.

Persoalannya adakah pendekatan ini jalan terbaik dan sesuai untuk diambil pada saat negara menghadapi krisis Covid-19? Kenapa perlu darurat? Andainya alasan melaksanakan darurat atas dasar politik, kenapa diselesaikan cara undang-undang?

Tumpuan kini kepada Istana Negara. Wartawan, dan semua menanti-nanti adakah berlaku pengisytiharan darurat. Keadaan ini bukan lagi rahsia dan di era media sosial sekarang isu ini menular seluruh negara dan dunia. Mungkin pihak pentadbiran dan kepimpinan tertinggi mempunyai alasan dan jawapan yang kukuh kenapa perlu dilaksanakan darurat politik. Namun di sudut pandangan rakyat, perkataan ‘darurat’ itu sendiri membawa erti ‘sekatan’ yang lebih dahsyat daripada lockdown.

Bagi warga emas, mereka pernah lalui pengalaman darurat pada tahun 1948 hingga 1960 akibat rusuhan pengganas komunis suatu ketika dahulu.

Menurut Prof Dr Shamrahayu A Aziz, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), darurat bermaksud suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.

Andainya darurat dilaksanakan, Perlembagaan digantung dan pentadbiran negara ditentukan oleh pihak eksekutif. Ini bermaksud pentadbiran kerajaan, urusan ekonomi dan lainnya masih berjalan seperti biasa.

Parlimen masih boleh bersidang andainya tidak dibubarkan. Fungsi Parlimen juga masih seperti biasa dalam membahaskan rang undang-undang dan sebagainya.

Pada dasarnya terdapat tiga alasan boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat iaitu, ancaman ke atas keselamatan negara; atau kehidupan ekonomi; atau ketenteraman awam.

Sebenarnya, darurat boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa, sama ada semasa Parlimen masih ada, sedang bersidang atau pun tidak, atau juga semasa Parlimen bubar.Syarat yang diperlukan ialah telah dibuktikan elemen yang dinyatakan, iaitu ancaman atau darurat atas keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam telah atau hampir benar berlaku.

Ekonomi

Namun andainya darurat ini dilaksanakan, bagaimana pula dengan usaha pemulihan ekonomi? Persoalan lain ialah adakah pelabur akan merasa takut untuk datang ke negara ini, seandainya negara dalam keadaan darurat?

Keadaan ini menyebabkan kepercayaan pelabur akan tentunya terjejas dan bolehkah dalam keadaan darurat, ekonomi dapat dipulihkan?Kita boleh menjangkakan apabila negara diisytiharkan darurat, ia hanya akan menjejaskan keadaan ekonomi negara ketika ini yang sememangnya sedang mengalami kemelesetan.

Namun, jika darurat dilaksanakan bukan kerana alasan penularan Covid-19, semua ahli politik sewajarnya mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

Pengisytiharan perintah darurat dalam keadaan kemelut politik ketika ini, bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk rakyat Malaysia. Tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawa kerajaan yang akan diganti dapat memulihkan keadaan sekarang dalam tempoh yang singkat.

Namun, kita serahkan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa yang lain menangani Covid-19 dengan cara dan pendekatan berstrategik. Mereka lebih memahami pendekatan terbaik dan rakyat perlu patuh dan akur dengan pendekatan dilaksanakan.

Semua mengharap agar kestabilan pentadbiran negara lebih penting bagi memastikan proses perjalanan kerajaan dalam negara kita dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan kehidupan rakyat keseluruhannya.

*Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!