Kepimpinan berteraskan nilai murni sejagat

Tanpa bersandarkan kepada nilai murni sejagat, sehebat mana pun sosok seseorang pemimpin itu, akhirnya pasti akan tersungkur dan kecundang jua. Gambar hiasan. - Foto 123RF (Dr Harlina Halizah Siraj)
Tanpa bersandarkan kepada nilai murni sejagat, sehebat mana pun sosok seseorang pemimpin itu, akhirnya pasti akan tersungkur dan kecundang jua. Gambar hiasan. - Foto 123RF (Dr Harlina Halizah Siraj)
A
A
A

DALAM abad ke-21 yang menyaksikan perkembangan teknologi yang begitu pantas dan tangkas, aspek kepimpinan menjadi satu faktor utama yang perlu diberikan keutamaan.

Semakin jauh jangkauan potensi manusia meneroka alam persekitarannya, semakin kompleks permasalahan yang memerlukan jalan penyelesaian unik dan bijaksana.

Sekalipun teknologi digital kini mampu menghasilkan kapasiti kecerdasan buatan yang boleh 'belajar' membuat keputusan dan memudahkan urusan seharian, keupayaan manusia memimpin hala tuju visi dan misi sesebuah organisasi dan komuniti masih relevan dan diperlukan.

Kemahiran, bakat, ciri-ciri dan sifat pemimpin abad ke-21 yang dianggap kompeten dan layak memegang tampuk kepimpinan pastinya berbeza dengan apa yang dimiliki pemimpin abad lalu.

Kompetensi merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran, sikap dan perilaku serta asas nilai yang berkaitan. Justeru, kompetensi kepimpinan mestilah melibatkan keupayaan kognitif tinggi berasaskan ilmu pengetahuan meluas dan mendalam.

Selain itu, pengalaman dan latihan kemahiran kepimpinan menjadi faktor pengukuh kepada kompetensi dalam diri seorang pemimpin.

Sikap dan perilaku ditonjolkan seorang pemimpin melambangkan gaya kepimpinan yang akan digunakan sepanjang tempoh kepimpinannya. Kesemua ini dibangunkan di atas satu rangkuman nilai yang menjadi asas kompetensi kepimpinan tersebut.

Ibarat bangunan yang berdiri megah di atas permukaan tanah, kompetensi kepimpinan bergantung kepada keutuhan pegangan nilai murni yang menjadi ibarat tiang pasak yang tertanam jauh di dalam bumi.

Artikel Berkaitan:

Tanpa struktur asas tiang pasak yang kuat dan kukuh, bangunan yang terbina akan lambat laun mendap dan runtuh. Begitulah juga ibaratnya sebuah kompetensi kepimpinan.

Tanpa bersandarkan kepada nilai murni sejagat, sehebat mana pun sosok seseorang pemimpin itu, akhirnya pasti akan tersungkur dan kecundang jua. Nilai murni sejagat adalah sesuatu yang bersifat malar hijau dan konsisten.

Biar bagaimanapun hebatnya perkembangan teknologi yang bakal dicapai dalam abad ke-21 ini, rangkaian nilai yang paling utama untuk disemai dan diperkukuh dalam diri seorang pemimpin adalah sifat amanah, berlaku adil dan empati.

Amanah ditakrifkan sebagai kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Profesor Dr Hamka pula menegaskan bahawa sifat amanah adalah batu asas kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Amanah digandingkan dengan kekuatan sebagai ciri utama yang diidam-idamkan oleh seorang majikan dalam memilih seorang pekerja yang ideal, sebagaimana yang dinyatakan al-Quranul karim dalam Surah al-Qasas ayat 26 (mafhumnya), "Sesungguhnya sebaik-baik orang untuk diambil bekerja ialah orang yang kuat (Qawiy), lagi amanah (Amin)."

Ini diperkukuhkan dengan hadis Rasulullah SAW (mafhumnya). “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan kepercayaan kepadamu”. (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi).

Seseorang itu dianggap amanah jika beliau berusaha menyampaikan apa saja bentuk hak kepada pemiliknya yang sah, tidak mengambil sesuatu melebihi dari haknya dan tidak pula mengurangi hak orang lain.

Sifat amanah menjadi obor yang menyinari kisah kehebatan kepimpinan para Nabi dan Rasul serta golongan sahabat yang terdidik dengan acuan iman dan takwa. Amanah adalah kompas moral bagi pemimpin yang berada di puncak kuasa dan pengaruh.

Dalam suasana dan kedudukan membolehkan mereka mengaut sebanyak mana kekayaan dan kesenangan dunia dengan mudah, pemimpin yang amanah begitu berhati-hati memastikan mereka tidak langsung mengambil kesempatan mengisi kantung dan tembolok mereka sendiri.

Pemimpin yang adil akan membuat keputusan dan pilihan bijak, saksama dan seimbang. Berlaku adil bermaksud seseorang itu mampu meneliti dan mempertimbangkan sesuatu berlandaskan keutamaan dan keperluan semasa.

Keadilan hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua pihak diberi peluang sama rata menyatakan pandangan, hasrat dan alasan masing-masing.

Al-Quranul karim menegaskan di dalam Surah Al Maidah ayat 8 (mafhumnya), "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH.”

Empati adalah sifat mulia yang mempunyai nilai yang sangat tinggi hari ini. Pemimpin mestilah mampu menanamkan sifat empati agar dapat menyelami dan merasai sendiri denyut nadi mereka yang dipimpin.

Dalam pemikiran rekacipta yang menghasilkan inovasi dalam menyelesaikan masalah, empati adalah langkah pertama yang mesti wujud terlebih dahulu.

Keprihatinan yang terhasil dari perasaan empati akan membuka jalan untuk mencari penyelesaian yang tuntas dan berkesan.

Sebaliknya pemimpin yang tidak amanah, akan membawa kerosakan dan kehancuran kepada negara dan rakyat jelata.

Kesanggupannya membelakangkan dan mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya, semata-mata untuk kepentingan diri sendiri adalah satu perilaku yang tidak bermoral.

Kezaliman seorang pemimpin tidak hanya berlaku apabila rakyat diperlakukan dengan kasar dan ganas semata-mata.

Seorang pemimpin boleh dikatakan zalim sekiranya dia tidak mengendahkan teguran dan rintihan rakyat yang memerlukan pembelaan dan bantuan.

Tanpa rasa empati, pemimpin akan terus-terusan membiarkan penderitaan, kesukaran dan kepayahan rakyat berlarutan, tanpa langkah pragmatik yang mampu menyelamatkan keadaan.

Rakyat kini harus berani membuat pilihan yang bijak dalam menentukan barisan pemimpin yang benar-benar mewakili kepentingan orang ramai, bukan hanya mementingkan keinginan sendiri dan keluarga.

Sudah tiba masanya rakyat meletakkan piawaian dan standard yang tinggi untuk dicapai pemimpin hari ini.

Hanya pemimpin yang mampu membuktikan bahawa mereka berpegang kepada teras prinsip dan nilai murni sejagat sahaja berhak diberikan peluang mengemudi bahtera merdeka negara keramat ini!

* Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengarah Pusat Citra Universiti UKM