Amanah janji sokong usaha perangi Covid-19

Kenyataan Mohamad Sabu di Facebooknya hari ini.
Kenyataan Mohamad Sabu di Facebooknya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menjunjung kasih di atas keputusan Yang di-Pertuan Agong dan berjanji akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, parti itu yakin bahawa keputusan Seri Paduka Baginda dibuat penuh hemah dan kebijaksanaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya dan kelangsungan kemakmuran negara.

"Parti Amanah menjunjung kasih titah Tuanku dan akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Yang di-Pertuan Agong tolak cadangan darurat

Katanya, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan ketika ini berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada terus merebak.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Permohonan dikemukakan kepada Seri Paduka Baginda ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.