Kelantan United giat perbaiki kelemahan

Nazrulerwan Makmor - Foto Kelantan United Football Club
Nazrulerwan Makmor - Foto Kelantan United Football Club
A
A
A

PENUNDAAN tarikh saingan TM Piala Malaysia memberi peluang kepada Kelantan United sebagai pendatang baharu memperbaiki kelemahan pasukan itu sementara menanti undian perlawanan pusingan pertama yang dijangka berlangsung minggu hadapan.

Ketua Jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor mengakui skuad Kijang Hijau itu masih banyak kelemahan berdasarkan aksi mereka pada saingan Liga Premier sebelum ini sehingga meletakkan pasukannya dalam kedudukan agak tertekan.

"Justeru, saya harap dalam masa yang ada ini kami dapat memperbaiki segala masalah seterusnya bersedia untuk perlawanan pertama.

"Pasukan perlu lebih bersedia kerana lawan yang menanti kemungkinan daripada pasukan liga teratas (Liga Super) dan kesilapan kecil sahaja akan 'membunuh' langkah pasukan untuk layak beraksi pada perlawanan seterusnya," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 13 Oktober lalu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk meminda tarikh asal saingan Piala Malaysia daripada 25 dan 26 Oktober kepada 6 hingga 8 November ini, yang dilakukan selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Penolong pengurus Kelantan United, Nik Khuzaimi Nudin berkata, tempoh rehat ketika ini membolehkan skuad bimbingan Nazrulerwan dapat mempersiapkan diri sebaik mungkin daripada segi taktikal mahupun teknikal.

"Pemain yang cedera juga sempat pulih dan ini satu perkembangan baik kepada Kelantan United. Setakat ini persiapan kita lancar, setiap pemain juga bersemangat setiap kali sesi latihan dan saya harap perwatakan ini diteruskan tanpa mengira siapa lawan kita bila kempen Piala Malaysia bermula," katanya.

Katanya, Nazrulerwan juga dalam proses memaksimumkan tahap pemain, seterusnya memastikan mereka dapat mencapai keputusan serta beraksi dengan baik apabila saingan bermula.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga kehadiran pemain muda kami diharapkan dapat memberi impak serta cabaran kepada pemain senior pasukan lawan. Kita dapat lihat pemain muda yang dipanggil daripada skuad Piala Presiden Kelantan United menunjukkan kematangan dan komitmen bila berlatih.

"Jika mereka terus fokus, tidak mustahil mereka boleh meningkatkan keupayaan seterusnya merebut tempat dalam senarai pemain bila saingan sebenar berlangsung nanti," katanya.

Saingan Piala Malaysia menghimpunkan 11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier dengan dijalankan dalam format baharu iaitu perlawanan satu pusingan kalah mati. - Bernama