Wang RM60,000 dalam laci hangus

Kebakaran dapat dikawal oleh anggota bomba yang bertugas dan menyelamatkan lima rumah berhampiran.
Kebakaran dapat dikawal oleh anggota bomba yang bertugas dan menyelamatkan lima rumah berhampiran.
A
A
A

TUMPAT - Seorang peniaga kerugian setelah wang pusingan modal perniagaannya berjumlah RM60,000 hangus dalam kebakaran di Kampung Besut di sini tengah hari tadi.

Rosnani Sulaiman, 54, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, wang yang disimpan dalam laci almari di rumahnya itu tidak dapat diselamatkan.

Rosnani berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana baru sahaja keluar membeli barang keperluan harian bersama cucunya berusia lima tahun di pasar raya berdekatan manakala suaminya ke laut.

“Sebelum masuk ke dalam pasar raya, saya menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung yang memberitahu rumah saya terbakar.

“Saya terkejut dan terus pulang kerana memikirkan keselamatan seorang lagi cucu serta menantu saya yang sedang tidur di rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Rosnani berkata, selain wang pusingan modal berjumlah RM60,000 hangus, beberapa utas barang kemas yang disimpan dalam laci di biliknya juga tidak dapat diselamatkan dan sebuah kereta milik anak lelakinya juga turut hangus, cuma sebuah kereta dapat diselamatkan.

Bomba bertungkus lumus memadam kebakaran membabitkan kediaman separuh kekal di Kampung Besut hari ini.
Bomba bertungkus lumus memadam kebakaran membabitkan kediaman separuh kekal di Kampung Besut hari ini.

“Saya reda dengan kejadian ini meskipun rumah kami hangus tetapi saya bersyukur sebab cucu dan menantu saya terselamat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nor Fazira Mohd Noor, 26, yang merupakan menantu kepada Rosnani berkata, sebelum kejadian dia mendengar bunyi letupan.

“Saya terkejut dan terus mengambil anak saya yang berusia 10 bulan sedang tidur di dalam buaian dan bergegas keluar dari rumah.

“Kemudiannya saya melihat asap keluar dari jendela bilik mertua dan terus memberitahu orang kampung. Penduduk membantu memadam kebakaran tetapi disebabkan keadaan binaan rumah berstruktur kayu, api marak dengan cepat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.18 tengah hari.

“Seramai 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Kota Bharu dan Balai Darul Naim dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, rumah tersebut sudah terbakar 80 peratus dan tindakan pantas bomba juga berjaya menyelamatkan lima buah rumah berdekatan daripada terbakar,” katanya.

Menurut beliau, kebakaran dapat dikawal pada 12.51 tengah hari.