Gara-gara kucing, lelaki ugut mahu cederakan mak saudara

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hanya kerana tidak membenarkan kucing peliharaan dibawa masuk ke dalam rumah, seorang lelaki tergamak mengugut untuk mencederakan ibu saudaranya sendiri dalam kejadian pada 15 Oktober lalu.

Lelaki berusia 47 tahun itu dikatakan bertindak sedemikian selepas wanita berusia 50-an itu tidak mengizinkan dia membawa masuk kucing ke dalam rumahnya di Jalan Air Jernih di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikatakan ada menegur tindakan suspek yang membawa masuk seekor kucing ke dalam rumahnya.

Tidak berpuas hati dengan teguran itu, suspek yang bekerja sebagai peniaga terus naik angin, lalu mengamuk dengan memaki hamun mangsa sambil merosakkan barang di dalam rumah.

Suspek dikatakan seperti dirasuk apabila tergamak menampar muka mangsa beberapa kali sebelum mengugut mahu mencederakan wanita itu lagi kerana masih tidak berpuas hati dengannya.

Disebabkan terlalu takut, mangsa kemudian melarikan diri keluar dari rumah itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu di sini.

Susulan laporan yang dibuat ibu saudara suspek, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menahan lelaki tersebut di tepi jalan di Air Jernih di sini kira-kira jam 5 petang semalam.

Di Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Norina Maludin hari ini membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel Berkaitan: