X

Kindly register in order to view this article
!

Berhenti bermain politik: Salleh

Salleh Said Keruak
A
A

KOTA BELUD - Berhenti bermain politik, sebaliknya tumpukan perhatian kepada nasib rakyat dan masa depan negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, semalam negara mencatatkan sebanyak 1,228 kes koronavirus (Covid-19) yang tertinggi setakat ini dan tujuh orang telah meninggal dunia.

"Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah dilanjutkan untuk 14 hari lagi. PKPB di Kuala Lumpur belum ditentukan lagi sama ada akan disambung, namun nampak gayanya di Selangor ia mungkin dilanjutkan.

"Rakyat semakin gelisah dan bimbang. Namun rakyat seolah-olah terpaksa meletakkan kebimbangan mereka pada nombor dua, kerana ada lagi perkara besar yang perlu dibimbangi iaitu ketidakstabilan politik negara," tulisnya dalam blog beliau hari ini.

Salleh berkata, berita berhubung Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Jumaat lalu menjadi asas pelbagai spekulasi dan komentar daripada ahli politik yang mengundang pelbagai komentar susulan daripada warganet.

"Belum pun selesai perjumpaan di Istana Abdulaziz, Kuantan pada malam tersebut, portal media dan media sosial pantas memuatkan naratif darurat, darurat politik, kelemahan kerajaan hinggalah 'ketakutan' kerajaan.

"Anak-anak muda warganet tidak menunggu lama untuk memulakan kempen protes darurat. Naratif di media sosial kembali berkisar kepada kelemahan dan kerapuhan kerajaan. Kemarahan terhadap ahli politik semakin membuak.

"Pada masa yang sama ahli politik turut tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pendirian masing-masing di media. Ada yang cadang Perdana Menteri letak jawatan. Ada yang cadang barisan Kabinet letak jawatan," katanya.

Bagaimanapun, Salleh berkata, apa yang dilihat dan dibaca tidak sekali menggambarkan semangat sebuah negara yang ingin bersatu hati memerangi ancaman Covid-19.

Katanya, bilakah semua ini akan berakhir? Sama ada ada atau tidak pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, suasana politik negara tetap huru-hara dengan pelbagai perbezaan pandangan.

"Pandangan ini hanya tertumpu kepada kepentingan peribadi, pendirian parti dan jarang sekali tertumpu kepada apa yang rakyat mahukan.

"Kita lupakah kepada rakyat? Kita tidak dengarkah keluhan mereka? Hanya satu jalan untuk mengakhiri kemelut ini dan saya sudah berulang kali menyeru agar semua ahli politik mengambil jalan ini iaitu jalan kerjasama dan kesatuan sebagai sebuah negara.

"Panggillah ia apa pun, gencatan politik, moratorium politik atau apa pun, yang paling penting sekali ialah semua ahli politik berhenti bermain politik dan tumpukan perhatian kepada nasib rakyat dan masa depan negara. Kita perlu segera ambil langkah berani dan langkah yang betul," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!