Covid-19: Guna sepenuhnya fasiliti dalam penjara untuk laksana PKPD

Nora bersama Habibi (kanan) melakukan lawatan di kawasan PKPD di Kuarters kakitangan dan pegawai penjara Kepayan, Kota Kinabalu hari ini.
Nora bersama Habibi (kanan) melakukan lawatan di kawasan PKPD di Kuarters kakitangan dan pegawai penjara Kepayan, Kota Kinabalu hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pusat Penjara Kota Kinabalu di sini menggunakan sepenuhnya fasiliti yang terdapat di dalam penjara berkenaan bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ.

Pemangku Pengarah Penjara Sabah dan Labuan, Nora Musa berkata, ruang di dalam penjara berkenaan sejak dahulu melebihi kapasiti bagi menampung 1,500 banduan.

"Tetapi muatannya kini hampir 3,000 orang iaitu hampir 100 peratus. Ini memang melebihi kapisiti dan setakat ini jumlahnya memang tidak pernah berkurangan.

"Apabila berlakunya Covid-19 yang mementingkan penjarakkan fizikal, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB) memasang khemah dan ruang yang kita gunakan untuk belajar kelas-kelas pemulihan sebagai tempat untuk menempatkan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan kuarters kakitangan dan pegawai penjara di Taman Mat Salleh, Kepayan di sini hari ini.

Nora berkata demikian ketika diminta mengulas keadaan ruang dalam pusat penjara yang mengalami kesesakan dan melebihi kapasiti berikutan PKPD dikuatkuasakan selepas penularan wabak Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara.

Turut hadir dalam lawatan berkenaan, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Sementara itu, Nora berkata, setakat ini penjara itu masih mampu mengawal situasi dengan melakukan pengasingan antara banduan supaya tidak bercampur sesama sendiri.

"Walaupun dalam penjara, tetapi pengurusan untuk Covid-19 ini diputuskan KKM. jadi pihak kita akur pada apa yang diputuskan.

Artikel Berkaitan:

"Kita bersama KKM akan gunakan apa saja fasiliti yang kita ada untuk melaksanakannya," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan bahawa pusat penjara itu menghadapi masalah kesesakan akibat lebihan kapasiti sehingga 81 peratus daripada jumlah ditetapkan.

Perkara itu adalah antara kekangan yang terpaksa dihadapi pihak penjara dalam membendung penularan Covid-19.

Turut dilaporkan, sebanyak 434 kes baharu Covid-19 direkodkan berpunca daripada Kluster Penjara Kepayan semalam.

Terdahulu, mengulas mengenai proses saringan yang dijalankan terhadap banduan dan kakitangan, Nora berkata, proses itu sudah hampir selesai.

"Proses saringan masih berjalan tetapi sudah hampir selesai dengan lebih 90 peratus telah disaring. Setakat ini, seramai 12 pegawai disahkan positif Covid-19," katanya.