Keluarga mangsa kebakaran bakal dapat rumah baharu

Suraya (dua dari kiri) menyerahkan cek kepada Muzni (kanan) sambil diperhatikan Pengarah Perkeso Kedah, Shaharuddin Waled (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh (kiri) pada Majlis Penyampaian Faedah Perkeso dan Sumbangan untuk kakitangan SADA di Taman Datin Norulkiah, Jalan Pegawai hari ini.
Suraya (dua dari kiri) menyerahkan cek kepada Muzni (kanan) sambil diperhatikan Pengarah Perkeso Kedah, Shaharuddin Waled (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh (kiri) pada Majlis Penyampaian Faedah Perkeso dan Sumbangan untuk kakitangan SADA di Taman Datin Norulkiah, Jalan Pegawai hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan membina kediaman baharu untuk keluarga seorang mangsa kebakaran iaitu kakitangan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang ditemui rentung apabila rumahnya di Taman Malik di sini terbakar pada 15 September lalu.

Exco Kerja Raya, Tenaga, Bekalan dan Sumber Air dan Pengairan dan Saliran Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerajaan negeri meluluskan pembinaan semula rumah untuk keluarga Roslan Abu Bakar, 56, di tapak asal rumah yang terbakar itu.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah peruntukan diluluskan untuk pembinaan rumah dilengkapi ruang tiga bilik tersebut belum dapat dipastikan.

"Kediaman baharu berkenaan adalah untuk isteri mangsa, Muzni Mustafa, 53, bersama dua anak mereka iaitu Muhammad Ridhuwan, 16, dan Siti Aisyah, 15.

"Kerajaan negeri bersedia membina rumah untuk waris mangsa di tapak rumah terbakar tetapi ada beberapa perkara perlu diuruskan terlebih dahulu sebelum proses pembinaan kediaman untuk keluarga berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sumbangan untuk kakitangan SADA di Taman Datin Norulkiah, Jalan Pegawai di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Kedah, Shaharuddin Waled dan Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh.

Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang berkata, pihaknya menyerahkan bayaran faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000, manakala keluarga itu juga akan menerima faedah pencen penakat sebanyak RM2,291 secara berkala.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, orang ramai digalakkan membuat caruman dengan Perkeso untuk membolehkan mereka mendapat pembelaan sewajarnya apabila berdepan situasi tidak dijangka.

Sementara itu, Muzni berkata, dia terharu di atas keprihatinan pelbagai pihak termasuk SADA, Perkeso, kerajaan negeri sehinggalah orang awam membantu mereka sekeluarga selepas suaminya meninggal dunia dalam kebakaran itu.

"Alhamdulillah, pencen penakat diterima membolehkan saya menyara kehidupan kami sekeluarga termasuk pembelajaran dua anak selepas ini memandangkan saya tidak lagi bekerja kerana bersara pilihan akibat masalah kesihatan seperti darah tinggi, saraf, kencing manis dan buah pinggang, dua tahun lalu.

"Dengan wang pencen penakat arwah suami juga, saya akan gunakan membayar rumah sewa lebih kurang RM600 sebulan di Taman Datin Norulkiah selepas rumah pusaka keluarga di Taman Malik hangus," katanya.

Dalam kejadian itu, Roslan ditemui rentung manakala isteri dan dua anaknya terselamat dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi.