Muhyiddin digesa 'berjumpa' Anwar di Parlimen

Anwar, Muhyiddin
Anwar, Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk 'berjumpa' dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen bagi mencapai satu persetujuan keyakinan dan pembekalan (CSA).

Menerusi satu kenyataan, Bersih 2.0 berkata, Muhyiddin perlu meletak jawatan sekiranya beliau kalah dalam pembentangan Belanjawan 2021 itu bukannya mengumumkan darurat.

"Jika Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh gagal mengikut langkah yang disarankan itu ia secara jelas menunjukkan satu bentuk rampasan kuasa sendiri.

"Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin akan kehilangan beberapa sokongan ahli Parlimen kerajaan dalam belanjawan, beliau perlu menunjukkan kematangan dan kemahuan untuk berjumpa dengan pembangkang rasmi untuk mencapai satu persetujuan keyakinan dan pembekalan sebelum pembentangan belanjawan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, persetujuan itu perlu memasukkan beberapa reformasi termasuk reformasi Parlimen, reformasi pilihan raya, reformasi institusi yang lain dan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen.

"Peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen termasuk juga cadangan pembangkang untuk memastikan belanjawan ini lebih inklusif dan teguh serta mencegah kebuntuan politik daripada terjadi sekali lagi pada masa hadapan.

"Persetujuan Muhyiddin-PH akan menghasilkan 204 undi maksimum dan boleh bertahan sekiranya ada yang berpaling," katanya.

Katanya, jika Muhyiddin masih lagi tidak mahu menggembleng bil persetujuan dengan pembangkang rasmi, maka beliau perlu meletakkan jawatan sekiranya belanjawan beliau tewas.

"Malaysia tidak semestinya perlu untuk mengadakan pilihan raya mengejut atau menghadapi risiko tidak mempunyai belanjawan kerana Dewan Rakyat boleh meluluskan undi percaya kepada ahli Parlimen lain untuk membentuk kerajaan dan meneruskan belanjawan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun Perdana Menteri hanya memimpin kerajaan minoriti, beliau dengan rendah hati boleh mengadakan persetujuan dengan parti-parti pembangkang," katanya.