Darurat bantutkan usaha rakyat bina semula kehidupan: PKR Perak

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyifatkan pengisytiharan darurat hanya akan membantutkan usaha rakyat dalam membina semula kehidupan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, rakyat kini lebih bimbang berlaku ketidakstabilan negara sekiranya darurat diputuskan kerana akan merumitkan lagi kegiatan ekonomi mereka.

Beliau berkata, negara kini perlu ditadbir oleh sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat, keadilan undang-undang tanpa mengira darjat dan komitmen dalam merangka polisi untuk membangun semula negara selepas ini.

"Demokrasi harus dipertahankan tanpa risiko pengorbanan nyawa dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus sedar bahawa sebarang usaha kerajaan menidakkan kehendak rakyat demi kuasa adalah satu kezaliman.

"PKR Perak menegaskan bahawa usaha sebuah kerajaan haruslah berpaksikan kebajikan rakyat dan kesaksamaan dalam melaksanakan undang-undang mengikut perlembagaan sedia ada," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, UMNO Perak dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pengisytiharan darurat bukan jalan terbaik membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) serta tidak membantu meringankan beban yang sedang dipikul oleh rakyat.

Sebelum ini, desas-desus timbul bahawa darurat akan dilaksanakan kerajaan selepas Perdana Menteri, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz Indera Mahkota, Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN:Covid-19: Spekulasi pengisytiharan darurat memuncak

Artikel Berkaitan: