Covid-19: Semua institusi pendidikan Islam di Seremban ditutup

Kenyataan media JHEAINS hari ini penutupan institusi pendidikan Islam zon merah di daerah Seremban.
Kenyataan media JHEAINS hari ini penutupan institusi pendidikan Islam zon merah di daerah Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Semua institusi pendidikan Islam di kawasan zon merah di daerah Seremban ditutup bermula hari ini sehingga 9 November depan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini memaklumkan, keputusan itu selaras dengan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tentang penutupan institusi pendidikan di bawah KPM di zon merah daerah Seremban semalam.

Menurutnya, penutupan itu melibatkan sebanyak 199 institusi pendidikan Islam di seluruh daerah Seremban.

"Jumlah ini melibatkan Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Kelas Agama Petang (KAP) yang beroperasi di premis KPM, Sekolah Rendah Islam yang menjalankan KAFA, Tadika Islam, Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam, Maahad Tahfiz, madrasah atau pondok dan pusat pengajian islam yang berdaftar dengan JHEAINS," katanya.

JHEAINS berkata, senarai institusi pendidikan Islam itu turut dilampirkan di laman Facebook rasmi JHEAINS.

"Sekolah dan institusi pendidikan Islam yang mempunyai asrama juga ditutup. Ibu bapa dan penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang ke rumah.

"Murid atau pelajar yang sedang menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau ingin kekal di asrama hendaklah berada di bawah jagaan warden atau pemantau pentadbir. Mereka yang kekal di asrama tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah dan keperluan makan serta minum disediakan oleh pentadbir sepanjang penutupan.

"Sepanjang tempoh penutupan ini juga, pentadbir sekolah khususnya bagi yang menjalankan KAFA hendaklah memastikan guru-guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran di rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JHEAINS sentiasa prihatin dalam menjalankan usaha preventif bersama-sama pihak berwajib dalam menangani wabak koronavirus (Covid-19).

"Sebarang makluman penutupan institusi pendidikan di bawah JHEAINS akan dibuat dari masa ke masa," katanya.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Mohd Zaidi Ramli ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kenyataan tersebut.