Darurat tidak melibatkan kuasa tentera, sekatan ekonomi

Ali Biju
Ali Biju
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju mendedahkan cadangan untuk melaksanakan darurat tidak melibatkan sebarang kuasa tentera atau sekatan terhadap aktiviti ekonomi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, rakyat Malaysia tidak akan terbeban langsung dengan pelaksanaan darurat dan ekonomi akan dibuka seperti biasa.

"Hanya Parlimen sahaja akan digantung dan aktiviti politik akan dihadkan. Mereka yang mahu menjadi hero tidak boleh lagi menakut-nakutkan sesiapa kononnya memiliki satu kuasa yang kuat, meyakinkan dan hebat lagi," katanya.

Ali berkata, rakyat dan ekonomi tidak akan berdepan dengan sebarang masalah daripada pengumuman darurat itu.

"Pemikiran jurutera saya yang logik ini memberitahu mereka yang tidak setuju dengan langkah darurat bermakna bersetuju dengan pilihan raya ketika negara berdepan dengan pandemik," katanya menerusi satu laporan yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita dalam talian.

Menurutnya, beliau menggesa supaya semua pihak untuk berhenti bermain politik dan bekerja keras untuk menstabilkan kerajaan, melawan koronavirus (Covid-19) dan memulihkan ekonomi.

Katanya, seluruh negara kini diselubungi pelbagai spekulasi kerana tiada sebarang pengumuman dibuat berhubung pelaksanaan darurat.

Tambah beliau, adalah amat membimbangkan kerana pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pembangkang dan mereka yang menyokong agenda untuk menggugat kestabilan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya bukan peguam, saya jurutera. Latihan saya dalam kejuruteraan telah mengajar saya bahawa pelbagai peralatan mesti berfungsi dengan baik dan harmoni untuk membolehkan ia berfungsi dengan berjaya.

“Jadi saya baca kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Tommy Thomas semalam yang mengatakan darurat tidak mengikut Perlembagaan menyebabkan saya menggaru kepala saya.

"Saya tidak mampu untuk memberikan komen tentang perundangan atau mencabar Tommy tetapi sebagai jurutera yang melibat peralatan perlu berfungsi dengan peralatan yang lain, mungkin kemahiran saya membolehkan saya memahami apa yang sedang berlaku kini," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Artikel 150 yang dikatakan oleh Tommy ialah sebahagian daripada Perlembagaan dan diibarat seperti kunci dalam satu mesin yang besar untuk membolehkan semua peralatan berfungsi.

“Jadi Artikel 150 ialah sebahagian daripada Perlembagaan, mengatakan terhadap perlaksanaan darurat sebagai tidak berperlembagaan walaupun telah termaktub di dalam Perlembagaan adalah sukar difahami oleh orang biasa terutama jurutera," katanya.

Jelas beliau, semua rakyat bersetuju bahawa negara memerlukan satu perancangan untuk memastikan semua orang selamat dan sihat termasuk strategi ekonomi yang dapat memastikan industri tempatan dan perniagaan berjalan lancar.

"Perkara terakhir yang tidak perlu pada ketika ini ialah menakut-nakutkan pelabur asing dengan ketidaktentuan politik.

"Bagi memastikan kerajaan meneruskan usaha melawan pandemik dan pemulihan ekonomi maka kita perlukan landskap politik yang stabil dan tidak diganggu," katanya.