Penganggur ditahan cuba bunuh anggota polis

Suspek (tengah) ditahan selepas melepaskan tembakan ke arah anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit Isnin lalu.
Suspek (tengah) ditahan selepas melepaskan tembakan ke arah anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit Isnin lalu.
A
A
A

KULIM - Seorang penganggur antara tiga individu ditahan kerana cuba membunuh anggota polis dan memiliki senjata api tanpa permit di sebuah ladang kelapa sawit di Labu Besar Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, anggota polis ternampak suspek memegang senapang dan memperkenalkan diri, namun suspek yang terkejut terus melepaskan tembakan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, tembakan yang dilepaskan suspek berusia 30 tahun itu tersasar.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan dan pemeriksaan menemui selaras senapang patah dan kelonsong peluru, satu peket dadah disyaki syabu seberat 0.61 gram, peluru hidup dan sebatang besi.

"Suspek yang dikesan positif dadah jenis methamphetamine mengaku membeli senapang patah untuk memburu binatang dengan harga RM300 dua tahun lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, polis menahan seorang lelaki berusia 64 tahun disyaki menjual senapang kepada suspek dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tawar Sungai Kob pada jam 4 petang Selasa lalu.

"Pemeriksaan dalam rumah itu menemui dua laras senapang patah buatan sendiri yang disembunyikan dalam almari dan beberapa butir peluru yang belum digunakan bawah tilam dalam bilik tidur suspek," katanya.

Azhar berkata, hasil siasatan lanjut polis melakukan serbuan ketiga di Kampung Bukit Chempedak, Sungai Kob, dua jam kemudian dan menahan seorang bekas anggota Rela berusia 83 tahun bersama selaras senapang patah dan peluru.

Artikel Berkaitan:

"Biarpun suspek memiliki lesen senjata api, namun tangkapan dibuat kerana disyaki telah menjual peluru kepada suspek lain.

"Warga emas itu bagaimanapun mengaku sedang dalam proses untuk melakukan pindah milik lesen senjata api terbabit kepada ahli keluarga lain," katanya.

Antara barang rampasan dalam ketiga-tiga serbuan termasuk satu laras senapang patah buatan sendiri dan satu kelonsong dalam chamber, satu laras senapang angin buatan sendiri, satu laras senapang patah jenis Champion, 36 butir peluru tabur hidup, satu tabung gas untuk senapang angin, dua bekas plastik mengandungi bell bearing dan sebatang kayu rotan sebagai pencuci laras senapang.

Azhar menunjukkan antara senjata api yang dirampas.
Azhar menunjukkan antara senjata api yang dirampas.

Kesemua suspek direman sehingga 26 Oktober 2020 bagi membantu siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya bagi proses pendakwaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa permit dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

Polis juga melakukan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis syabu.

Azhar berkata, memiliki senjata api secara tidak sah adalah satu kesalahan di mana jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan tidak kurang enam kali.

"Jika didapati terdapat dalam simpanan sebarang peluru hidup boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.