Suri rumah rugi RM4,720 ditipu penjual emas dalam talian

Gambar hiasan (Gambar kecil: Noorzainy)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Noorzainy)
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang suri rumah kerugian RM4,720 selepas ditipu sindiket jual beli emas secara dalam talian semalam.

Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan melihat video siaran langsung sebuah syarikat emas di laman Facebook yang menjual barangan emas.

Mangsa yang tertarik dengan barangan kemas yang dijual kemudiannya meninggalkan nombor telefon di dalam video tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berasal dari Kepala Batas dikatakan menerima pelawaan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan gelang tangan emas dengan harga yang murah.

Menurutnya, mangsa dihubungi oleh seorang perempuan yang mendakwa dirinya sebagai staf syarikat emas dan bertindak memujuk mangsa untuk membeli gelang tangan emas yang dijual.

"Mangsa berminat dan telah membuat satu transaksi pindahan wang berjumlah RM4,720 ke satu nombor akaun bank diberikan oleh staf tersebut.

"Bagaimanapun mangsa berasa ditipu setelah staf gagal dihubungi lalu datang membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noorzainy berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.