'Proklamasi darurat lebih kepada selamatkan kedudukan PM'

EWON BENEDICK
EWON BENEDICK
A
A
A

KOTA BELUD - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berpendapat jika proklamasi darurat dilaksanakan ia lebih bersifat menyelamatkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

"Betul, kita akui situasi penularan wabak koronavirus (Covid-19) sangat membimbangkan terutamanya di Sabah.

"Penularan ini meningkat begitu mendadak sekali selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kita semua tahu punca pilihan raya itu terpaksa diadakan di mana pada ketika kes positif Covid-19 pada tahap bilangan yang rendah ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan serta punca yang mengheret kepada pembubaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ewon yang juga Naib Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, dengan menggunakan Covid-19 sebagai justifikasi bagi mengisytiharkan perintah darurat hanya menunjukkan kelemahan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri sekarang.

"Ini kerana kita sudah mempunyai peraturan berkaitan yang boleh digunakan iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang sedang digunakan bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Menurutnya, Muhyiddin boleh saja membentuk kerjasama melibatkan semua parti politik dalam kerajaan kalau benar beliau serius menangani penularan wabak Covid-19.

"Jika betul Perdana Menteri betul-betul serius menangani penularan wabak Covid-19 ini berbanding menyelamatkan kedudukannya, beliau boleh saja membentuk kerjasama melibatkan semua parti politik dalam kerajaan sekali gus melenyapkan krisis politik di Dewan Rakyat yang beliau bimbangkan," katanya.

Katanya, proklamasi darurat sebenarnya akan memberi kesan terhadap Sabah seperti yang pernah berlaku berhubung kehilangan hak sumber asli dan minyak negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi politik, proklamasi darurat memberi mimpi ngeri kepada Sabah kerana beberapa pindaan perlembagaan dan undang-undang dibuat sepanjang tempoh proklamasi darurat seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 di mana Sabah telah kehilangan hak ke atas sumber gas dan minyak buat selama-lamanya," katanya.

Sejak kelmarin, timbul spekulasi bahawa perintah darurat akan dikenakan berikutan keadaan kes Covid-19 yang membimbangkan negara.