Covid-19: Dua pegawai penjara sembuh, seorang stabil

Dua pegawai Penjara Seberang Perai disahkan sembuh dan kini berehat di rumah.
Dua pegawai Penjara Seberang Perai disahkan sembuh dan kini berehat di rumah.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua daripada tiga pegawai Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal disahkan pulih dari jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dan dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat.

Pengarahnya, Zulkifli Abdul Manah berkata, kedua-dua pegawai tersebut dibenarkan keluar wad dua hari lalu dan kini diberi cuti rehat.

Menurutnya, seorang lagi pegawai masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil.

"Dua pegawai yang sudah sembuh telah dibenarkan pulang ke rumah mereka untuk berehat. Mereka dijangka bertugas semula esok namun sekiranya mereka memohon lanjutan cuti, ia akan dipertimbangkan oleh pihak penjara.

"Seorang lagi pegawai, masih di HPP dan dilaporkan sihat, tanpa bergejala. Bagaimanapun, dia masih di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, sembilan kes positif dalam kluster Penjara Seberang Perai yang dilaporkan semalam hanya melibatkan banduan.

"Kesemua yang disahkan positif adalah banduan baru di blok sama. Mereka ini adalah banduan yang berada di penjara kurang dari enam bulan. Tiada kes melibatkan pegawai penjara.

"Ujian saringan untuk semua banduan, kakitangan telah selesai. Ujian saringan kedua untuk kakitangan dan banduan terpilih (berisiko) juga sudah selesai. Mengikut jadual KKM, keputusan akan diperoleh dua hari lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga semalam, 104 kes positif Covid-19 dilaporkan yang mana, tiga daripadanya melibatkan pegawai penjara tersebut.

Sementara itu, lapan kes positif baharu yang dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang semalam adalah melibatkan banduan yang menjalani ujian saringan ketiga.

Pengarahnya, Mohamed Jusoh Ismail berkata, kesemua banduan itu menjalani ujian saringan ketiga selepas menunjukkan gejala.

Mengulas mengenai sama ada akan dijalankan ujian saringan keempat, Mohamed Jusoh berkata, ia bergantung kepada keadaan dan nasihat daripada KKM.

Setakat ini, kluster Penjara Reman mencatatkan 454 kes positif yang semuanya melibatkan banduan.

Kedua-dua penjara tersebut kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang mana Penjara Reman Pulau Pinang sehingga 27 Oktober manakala Penjara Seberang Perai sehingga 4 November ini.

Pulau Pinang kini mempunyai dua kluster Covid-19 utama iaitu Penjara Reman dan Penjara Seberang Perai menjadikan kedua-dua penjara itu sebagai institusi hukuman ketiga dan keempat di negara ini mencatatkan jangkitan Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Kes aktif pertama dilaporkan di Penjara Reman Pulau Pinang berikutan kematian seorang tahanan berusia 85 tahun pada 5 Oktober lalu.