X

Kindly register in order to view this article
!

Warga Indonesia pecah rumah dicekup tak sampai 24 jam

Gambar Hiasan
A
A

TAMPIN - Tidak sampai 24 jam, seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis sebelum sempat menikmati hasil pecah rumah yang dilakukannya semalam.

Ketua Polis daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di sebuah rumah kongsi di Felda Jelai 1, Gemas.

Menurutnya, polis memburu suspek sebaik menerima laporan daripada seorang mangsa dari Felda Jelai selepas rumahnya di pecah masuk kira-kira jam 2.50 pagi.

"Ketika kejadian, isteri mangsa ternampak kelibat seorang lelaki disyaki warga Indonesia tidak memakai baju berada dalam rumahnya sebelum menjerit menyebabkan lelaki berkenaan melarikan diri dengan keluar melalui tingkap.

"Hasil pemeriksaan lanjut, mangsa mendapati besi tingkap di bahagian dapur telah dibengkokkan dan tiga keping cermin tingkap telah dibuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek telah melarikan dua buah telefon bimbit, dua utas jam tangan dan wang tunai RM160.

"Hasil risikan polis dari Ibu Pejabat Polis daerah Tampin telah membawa kepada penangkapan suspek pada hari sama.

"Dengan penangkapan suspek, polis telah berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah yang berlaku dalam tempoh sebulan ini sekitar Gemencheh dan Gemas," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah malam hari dan juga Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 iaitu pasport tamat tempoh.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!