X

Kindly register in order to view this article
!

'MU sepatutnya menang'

Mendy melayangkan badan bagi menyelamatkan percubaan pemain United, semalam. Foto: Standard co.uk
A
A

Penjaga gol Manchester United, David de Gea percaya skuad The Red Devils itu seharusnya menang pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Chelsea di Old Trafford semalam jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol Edouard Mendy.

De Gea berkata, ketangkasan penjaga gol dari Senegal itu di sepanjang perlawanan telah menghalang hajat United untuk meraih tiga mata berharga di laman sendiri apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan bagi berkongsi satu mata.

Sekali gus menurut De Gea, situasi berkenaan menyaksikan skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer itu gagal mencatatkan kemenangan buat kali kelima berturut-turut di Old Trafford musim ini.

“Kita ada sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan untuk menjaringkan gol menerusi Rashy (Marcus Rashford), tetapi ia diselamatkan oleh Mendy.

“Bagi saya, ia perkara biasa, tetapi kami seharusnya berhak untuk mendapatkan jaringan berkenaan kerana kita telah mencipta peluang secukupnya untuk memenangi perlawanan.

“Namun, ia adalah satu perlawanan yang sukar apabila berdepan dengan pasukan yang bagus seperti Chelsea dan kita perlu bersedia untuk mengharungi perlawanan seterusnya pula,” katanya.

Perlawanan semalam turut menyaksikan beberapa rekod tersendiri apabila kegagalan United mencatatkan kemenangan di Old Trafford buat kali kelima berturut-turut menyaksikan ia sebagai rekod tanpa kemenangan paling lama sejak Februari 1990 lalu.

Selain itu, Meny turut muncul selaku penjaga gol Chelsea pertama yang mencatatkan rekod bersih (tanpa bolos) di Old Trafford selepas Thibaut Curtois melakukannya pada Disember 2015 lalu.

Sementara itu pengendali United boss Ole Gunnar Solskjaer turut mendedahkan Mendy sebagai pemain pertama skuad The Blues itu yang mencatat rekod bersih (tanpa bolos) dalam dua aksi pertama di laman sendiri dan di laman lawan selepas Peter Cech melakukannya pada Ogos 2004 lalu.

"Hari ini (semalam) ada dua pasukan yang bagus dan memiliki kualiti tersendiri sedang beraksi.

“Tetapi anda boleh saksikan (ketangkasan) penjaga gol mereka (Chelsea) hari ini (semalam). Bagi saya, dia adalah pemain terbaik perlawanan terutamanya setelah berjaya menyelamatkan dua percubaan cantik daripada Marcus (Rashford).

“Oleh itu, saya tetap memberikan pujian kepada penjaga gol mereka kerana kejayaannya menyelamatkan dua percubaan berkenaan, Ia memang menakjubkan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!