Kontak rapat kes positif Covid-19 SK Felda Raja Alias 3 akan disaring

SYAHRUL NIZAM
SYAHRUL NIZAM
A
A
A

JEMPOL - Kontak rapat kepada seorang murid di Sekolah Kebangsaan Felda Raja Alias 3 di sini yang positif Koronavirus (Covid-19) akan disaring di Klinik Kesihatan Bahau esok melibatkan dua sesi.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, pengesahan itu dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan daerah Jempol, yang mana kontak rapat telah dikenal pasti itu akan dikuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari selepas saringan dilakukan.

"Kes didapati positif semalam setelah saringan dijalankan di Klinik Kesihatan Gemas dan kes didaftarkan di bawah daerah Tampin.

"Bagi mengawal risiko penularan,beberapa langkah segera telah diambil iaitu penutupan sekolah selama tujuh hari bermula esok dan proses disinfeksi bangunan dan kawasan sekolah telah dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Jempol hari ini.

"Manakala bagi guru, pelajar dan kakitangan sekolah yang bukan dikategorikan sebagai kontak rapat dinasihatkan untuk sentiasa berada di rumah sepanjang sekolah ditutup," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimana pun sekiranya bukan kontak rapat kepada kes positif tetapi mempunyai simptom Covid-19 seperti demam, batuk, sakit tekak, selesema dan sesak nafas, perlu segera ke klinik kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan kesihatan.

"Dalam usaha membendung penularan, Pejabat Kesihatan Daerah akan sentiasa membuat pemantauan dan mengenal pasti kontak rapat bersama agensi-agensi penguatkuasaan daerah yang lain.

"Orang ramai diseru agar tidak panik dan sentiasa mengamalkan norma baharu yang telah digariskan oleh kerajaan serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) atau perintah ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang penyebaran berita palsu dan boleh mendatangkan panik serta menimbulkan spekulasi perlu dielakkan.