Titah Agong, darurat dan derhaka

No Image Caption
A
A
A

KAKINYA semakin sejuk. Tersedar dia seketika daripada diulit mimpi indah. Dalam mimpinya, mereka berlima masih kanak-kanak, bermain-main di tepi kali, di bawah sinaran mentari nan terik. Kesemuanya bercita-cita memuncak tinggi, ingin berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.

Mereka berjanji bahawa keakraban mereka akan berlangsung hingga ke akhir hayat, ke titisan darah terakhir. Kesetiaan mereka terhadap satu sama lain tidak akan tercabar walau apa pun terjadi.Pipinya basah. Tapi ini bukan air matanya. Pandangannya dialihkan ke atas. Air mata itu berlinang daripada suatu wajah kepunyaan seseorang yang dikenali sejak kecil lagi.

Segala ranjau, segala onak dan segala duri telah mereka harungi bersama. Pahit, getir dan manis, sama-sama dirasai. Susah dan senang, diganding bersama. Kepalanya diriba penuh kasih. Rambutnya diusap perlahan.

“Kenapa abang menangis?” soalnya sambil tersenyum.

“Abang minta maaf,” bisiknya penuh pilu. Dia sedar masa amat cemburu. Amat pantas berlalu. Darah yang tadinya mengalir dengan deras, telah berubah menjadi titisan, umpama embun dinihari. Taming Sari tidak mengenal lawan. Taming Sari tidak mengenal kawan, dan Taming Sari juga tidak mengenal saudara.

“Jangan abang. Ini titah sultan. Tiada apa nak dimaafkan.”

Kedua-dua belah kakinya bertambah sejuk. Terpaut kesedaran pada wajahnya bahawa sakaratul maut menggamitnya pulang. Senyuman diukir buat kali terakhir. Nafasnya dihembus perlahan, seraya meninggalkan bumi keramat tersohor yang dikenali sebagai Melaka.

Kita tinggalkan adaptasi hikayat Hang Tuah dan Hang Jebat seketika.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita bahawa terdapat kemungkinan berlaku peralihan kuasa pemerintahan negara.

Khabarnya terdapat beberapa ahli Dewan Rakyat kononnya telah mengalihkan sokongan mereka daripada seorang tokoh politik kepada seorang tokoh politik yang lain.

Sandiwara politik ini menjadi semakin hangat susulan kenyataan media ahli-ahli politik yang menyokong peralihan kuasa itu.

Namun, terdapat juga kenyataan-kenyataan yang sebaliknya. Kenyataan ini menafikan bahawa mereka menyokong sebarang cubaan untuk mengalihkan kuasa pemerintahan negara.

Akibat kenyataan-kenyataan bercanggah ini, rakyat menjadi keliru dan bingung. Apakah yang akan terjadi kepada negara tercinta ini? Apakah yang boleh dilakukan oleh rakyat?

Pada tahap ini, rakyat seakan-akan tidak boleh berbuat apa-apa. Ini kerana undang-undang membolehkan 222 ahli-Parlimen mengalihkan sokongan mereka daripada satu pihak ke satu pihak yang lain pada bila-bila masa, selaras keputusan mahkamah dalam kes Nordin Salleh.

Dalam kes itu, mahkamah memutuskan antara lain bahawa selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang yang menyekat hak seseorang untuk menubuhkan ataupun memilih sesebuah persatuan adalah tidak sah.

Peralihan kuasa

Maka oleh itu, jika seseorang ahli politik itu memilih untuk ‘melompat’ daripada satu parti politik ke satu parti politik yang lain, maka ia adalah satu tindakan yang sah di sisi undang-undang.

Ini mendatangkan satu masalah kepada rakyat kerana ahli politik yang telah diundi atas tiket sebuah parti politik, berkemungkinan besar akan ‘melompat’ pada bila-bila masa. Tetapi, tiap-tiap satu masalah, pasti ada jalan penyelesaian.

Penulis tertarik dengan kenyataan mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran tempoh hari. Beliau antara lain berpendapat bahawa Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk ‘memprorog atau membubarkan Parlimen’.

Prorog adalah istilah yang membawa maksud pemberhentian atau penggantungan sidang Dewan Rakyat.

Antara alasan Vigneswaran adalah penggantungan sidang Parlimen akan memberi peluang kepada negara untuk mengatasi masalah penularan Covid-19.

Pada masa yang sama, penggantungan sidang Parlimen juga akan memberi peluang untuk menstabilkan ekonomi negara yang kian merosot. Tetapi yang lebih penting lagi, penggantungan sidang Parlimen akan menstabilkan kemelut politik yang kian meruncing.

Bagaimanapun, pendapat ini tidak mendapat sambutan yang menyeluruh. Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berpendapat sebarang nasihat oleh Perdana Menteri kepada Agong untuk menggantung sidang Parlimen tanpa alasan yang munasabah boleh dicabar di mahkamah.

Beliau juga memetik contoh kes Miller, yang mana nasihat oleh Perdana Menteri Britain, Boris Johnson kepada Ratu Elizabeth untuk memprorog Parlimen telah diputuskan sebagai tidak sah oleh mahkamah di England.

Pada tahap ini, penulis berhujah bahawa walaupun perkembangan undang-undang di Britain seharusnya diikuti dan dijadikan templat di negara ini, namun wujud keadaan khas di Malaysia yang memberi ruang kepada kita untuk memberi interpretasi tersendiri khususnya bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dinyatakan tadi.

Apakah keadaan khas yang dimaksudkan? Kita semua sedia maklum bahawa suatu perintah yang dikeluarkan oleh Ratu Elizabeth semestinya berbeda dengan Agong.

Titah adalah suatu perkara yang menjangkaui adat resam turun-temurun yang mungkin tidak dapat difahami oleh sesetengah pihak. Titah Agong harus dijunjung. Noktah.

Dua tiga hari yang lepas, negara dikejutkan pula dengan desas-desus bahawa kerajaan akan mengisytiharkan darurat atas alasan untuk memerangi penularan Covid-19.

Alasan lanjut yang diberi adalah pengisytiharan darurat juga memberi peluang untuk menstabilkan kemelut politik yang melanda negara. Buah mulut ini diperkukuhkan apabila Perdana Menteri menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.

Perlembagaan

Kebanyakan pemerhati politik kedai kopi berpendapat Agong kemungkinan besar akan melaksanakan kuasanya seperti yang termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 150 membolehkan Agong antara lain mengisytiharkan ‘suatu Proklamasi Darurat’ sekiranya berpuas hati bahawa berlakunya suatu darurat besar yang mengancam ketenteraman negara.

Maka lahirlah bermacam-macam kritikan serta pendapat terhadap tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka ini berpendapat bahawa tindakan Perdana Menteri mungkin mengakibatkan institusi istana dikompromi kerana sebarang keputusan akan ditafsir sebagai keputusan berbau politik. Walau apa pun keputusan Agong, ia adalah suatu titah dan harus dijunjung.

Daripada kisah legenda Hang Tuah tadi, walaupun Hang Jebat adalah saudara akrabnya, namun demi menjunjung titah sultan, maka tali persaudaraan itu diketepikan. Tanpa soal.

Kisah ini harus dijadikan contoh oleh kita. Ini adalah keadaan khas yang penulis maksudkan tadi.

Penulis sedar bahawa Seri Paduka Baginda sedia maklum tentang penularan Covid-19, kemerosotan ekonomi dan kemelut politik yang melanda negara.

Oleh sebab itulah, Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk mengadakan rundingan lanjut dengan Raja-raja Melayu dalam masa terdekat bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang diajukan oleh Perdana Menteri. Ini menunjukkan Agong tidak akan bertindak dengan sewenang-wenangnya.

Segala perkara akan dianalisis dan diperhalusi sebelum Seri Paduka Baginda menitahkan sesuatu perkara. Maka demikian itu, wajarlah sebarang titah Agong dijunjung dan dibela sehingga ke titisan darah yang terakhir. Bukannya dicabar oleh mana-mana pihak dalam apa jua cara pun. Itu derhaka namanya.

* Datuk M Reza Hassan ialah lulusan undang-undang Universiti of Wolverhampton, United Kingdom. Kini beliau ialah peguam di Kuala Lumpur