50 tahun perjuangan Gapena

No Image Caption
A
A
A

SEPATUTNYA pada 23 Oktober 2020 berlangsung majlis sambutan ulang tahun Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang ke-50. Namun begitu, majlis itu terpaksa ditangguhkan ke tarikh 20 November 2020 (jika dibenarkan) ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 27 Oktober 2020.

Turut ditangguhkan ke tarikh baharu itu ialah majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Novel Futuristik Malaysia dan Sayembara Penulisan Cerpen 50 Tahun Gapena. Kedua-dua sayembara ini diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun Gapena ke-50.

Pastinya majlis penyampaian hadiah dan pengumuman keputusan ini dinanti-nantikan oleh warga sastera kerana hadiahnya yang lumayan.

Sudah terlalu lama Gapena tidak menganjurkan sayembara penulisan sedangkan sekitar tahun 1970-an hingga 1990-an Gapena ialah suatu kuasa gah dalam penganjuran sayembara penulisan.

Gapena yang ditubuhkan pada 23 Oktober 1970 di bawah teraju kepemimpinan Tan Sri Ismail Hussein merancakkan gerakan memartabatkan sastera pada dekad 1970-an dengan sokongan pelbagai pihak seperti Yayasan Sabah, Kumpulan Perangsang, dan syarikat petroleum Esso.

Hasilnya dapat menambah khazanah sastera yang bermutu seperti yang terhasil dalam Sayembara Novel Gapena 1976 dan Sayembara Novel Gapena–Yayasan Sabah sebanyak empat kali.

Sayembara Novel Gapena melahirkan Perantau Membelah (A. Kadir Ahmad, 1978), Warna-Warna (Rahman Haji Yusof, 1977), Saga (Abdul Talib Mohd Hassan, 1976) dan Bulan Merah di Tiga Kuala (Zahari Affandi, 1976).

Sayembara Novel Gapena-Yayasan Sabah yang bermula pada tahun 1979 sebanyak empat kali telah melahirkan karya bermutu dan menjadi penanda zaman seperti Jejak Pulang (Dharmala NS, 1976), Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (Anwar Ridhwan, 1979), Seorang Tua di Kaki Gunung (Azizi Haji Abdullah, 1982), Warisan (Abdul Talib Hassan, 1989), dan Pemberontakan (Jong Chian Lai, 1994). Sayembara Hadiah Novel Melayu Baru Perangsang-Gapena 1993 pula melahirkan novel Restu (Ismail Kassan, 1997).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Hadiah Sastera Remaja Esso-Gapena 1982 dan Sayembara Cerpen Esso-Gapena yang menghasilkan sembilan antologi cerpen juga menjadi mercu tanda dalam peta sastera di Malaysia.

Ramai penulis diangkat darjatnya oleh penganjuran sayembara Gapena sehingga mereka mendapat pengiktirafan dalam pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Sastera Negara dan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award).

Namun begitu, dalam tempoh dua dekad kebelakangan, sumbangan daripada pihak swasta semakin kelam, manakala sumbangan daripada pemerintah hanya bergantung nasib pada kecenderungan ahli politik secara individu. Hal ini perlu ditangani dengan kebijaksanaan strategi oleh Gapena agar kemaslahatan warga sastera dapat terus dibela.

Penganjuran sayembara penulisan Gapena pada kali ini boleh dianggap sebagai perkembalian Gapena ke zaman gemilangnya. Para penulis tentu sahaja menyambut baik sayembara penulisan ini kerana kesannya sangat besar dalam membina peradaban sastera negara.

Kali ini Gapena bernasib mujur apabila mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, telah meluluskan pemberian dana pembangunan kepada Gapena semasa menghadiri perasmian Rumah Gapena pada 2016. Dana itulah yang digunakan untuk menganjurkan sayembara novel futuristik dan cerpen pada kali ini.

Oleh itu, jelas bahawa pembangunan sastera tidak boleh lepas daripada sokongan pihak swasta, kerajaan, iltizam politik pemimpin, atau mana-mana pihak yang berkemampuan.

Tanpa sokongan mereka sukarlah sesuatu program yang memerlukan dana besar dapat dilaksanakan.

Kini setelah 50 tahun, Gapena sentiasa menjadi medan pemerhatian dan tanggapan oleh masyarakat. Gapena sering dirujuk oleh pelbagai pihak apabila berlaku sesuatu peristiwa yang menggugat kestabilan bahasa Melayu, kegalauan dalam dunia sastera, dan kerancuan kebudayaan kebangsaan.

Tanggapan

Gapena telah dianggap sebagai suatu entiti yang bertanggungjawab membina peradaban negara bangsa Malaysia. Hal ini berlaku kerana dalam sejarah perjuangannya, Gapena telah mencatatkan legasi sebagai pejuang dalam ketiga-tiga bidang tersebut.

Mahu tidak mahu, penerajunya perlu memikul ”amanah” yang diletakkan oleh masyarakat.

Persoalannya, mampukah Gapena menjunjung amanah besar itu dengan hanya berlandaskan status badan bukan kerajaan tanpa kuasa tawar-menawar serta peruntukan tetap daripada pihak berwewenang? Ternyata persoalan ini sangat besar, dan Gapena tiada upaya untuk melakukan semua itu.

Selepas Tan Sri Ismail Hussein melepaskan jawatan Ketua Satu yang dipegangnya selama 40 tahun, Gapena diterajui oleh Tan Sri Abdul Latiff Abu Bakar, dan kini diteruskan legasinya oleh Datuk Zainal Abidin Borhan. Kedua-dua mereka sangat memahami aspirasi Tan Sri Ismail Hussein dan agenda perjuangan Gapena.

Di sebalik keupayaan yang terbatas ini, kepemimpinan Gapena sekarang masih mampu melaksanakan peranan dalam skala yang dikuasainya.

Gapena mempunyai kapasiti untuk bergerak, iaitu dengan menggalurkan pemikiran masyarakat ke arah penghayatan agenda kebangsaan melalui bidang persuratan.

Menyedari potensi persuratan dalam pembinaan tamadun bangsa, Gapena perlu lebih aktif dan bertindak secara praktis agar perjuangannya relevan dengan perkembangan semasa.

Gapena perlu merencanakan gerakan strategis bagi menyuburkan sastera berideologi dengan matlamat yang jelas, sesuai dengan aspirasi nasional.

Hal ini boleh dilaksanakan sekiranya pemerintah memberikan kepercayaan dalam bentuk sokongan material yang munasabah di samping punca kuasa sebagai perencana pembinaan negara kepada Gapena.

Sehubungan dengan itu, Gapena perlu mengusahakan agar Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Konsep Kesusasteraan Kebangsaan diperkasakan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana legitimasi yang dimiliki oleh bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini penting bagi mengelakkan percubaan pihak komprador dan hegemoni kapitalis serta penceroboh budaya mengambil kesempatan menggugat kedudukannya yang memang sedia goyah.

Ringkasnya, Gapena harus bangkit semula dengan lebih perkasa di samping mengenyahkan kelemahan yang mengganggu pergerakan.

Kepercayaan orang ramai terhadap “kuasa” Gapena perlu dibugar semula. Persepsi negatif masyarakat, jika ada, wajarlah dilihat secara positif kerana itulah cermin yang jujur untuk menjelaskan pesona Gapena.

Dalam hubungan ini, barisan kepemimpinan yang diterajui oleh Datuk Zainal Abidin Borhan sudah bergerak ke arah itu, dan kemajuannya sudah kelihatan. Dirgahayu Gapena.

*Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya. Beliau juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena)