Harap FAM, AFC bagi kelonggaran

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) diharap dapat memberikan kelonggaran kepada jurulatih yang masih belum memiliki Lesen Pro Diploma AFC untuk membimbing pasukan Liga Super musim depan.

Penolong jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata, kedua-dua badan itu harus mencapai kata sepakat bagi mengecualikan syarat wajib yang ditetapkan terhadap mana-mana jurulatih ekoran daripada penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

“Perkara ini pernah terjadi kepada saya. Setelah saya berjaya membawa (membimbing) Sabah muncul juara Liga Premier 2019 seterusnya layak ke Liga Super musim ini, saya dimaklumkan tidak boleh membimbing Sabah kerana tidak memiliki lesen A (Pro Diploma AFC).

“Sudah pasti perkara yang terjadi itu agak menyedihkan, apatah lagi saya sudah berjaya membawa Sabah ke Liga Super. Jadi saya harap FAM dan juga AFC dapat memberi pengecualian kepada jurulatih terlibat atas sebab krisis Covid-19,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Jelius berkata demikian ketika diminta mengulas situasi yang berlaku terhadap pengendali Pulau Pinang, Mazoor Azwira Abdul Wahid dan rakan sejawatannya di Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff yang masih belum memiliki Lesen Pro Diploma AFC.

Situasi tersebut mencetuskan tanda tanya tentang masa depan kedua-dua ketua jurulatih itu sedangkan mereka berjaya membawa pasukan masing-masing layak secara merit ke Liga Super musim depan.

Tatkala Pulau Pinang dilapor mahu mengekalkan khidmat Manzoor Azwira sebagai ketua jurulatih, Kuala Lumpur pula dikhabarkan dalam perancangan untuk mendapatkan pengendali baharu.

Semalam Sinar Harian melaporkan, Manzoor Azwira akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat FAM dan bersedia menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Kumbang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Jelius yang juga bekas pemain Sabah memberitahu, semua pihak harus menerima apa sahaja keputusan daripada FAM dan AFC dengan hati terbuka.

“Bagi saya, apa yang dilakukan FAM ini adalah satu tindakan yang baik untuk kita meningkatkan mutu bola sepak Malaysia. Cuma saya memohon kepada pihak FAM dan AFC jika ada peluang atau kelonggaran diberikan dalam perkara ini,” jelasnya.