Detik cukup berharga

Luqman Hakim dimasukkan sebagai pemain gantian ketika aksi menentang Anderlecht di Kortrijk, Belgium awal pagi semalam.
Luqman Hakim dimasukkan sebagai pemain gantian ketika aksi menentang Anderlecht di Kortrijk, Belgium awal pagi semalam.
A
A
A

PENAMPILAN sulung penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin bersama kelabnya, KV Kortrijk ketika menentang Anderlecht pada saingan Liga Profesional Jupiler awal pagi semalam ternyata menggamit perhatian.

Biarpun sekadar beraksi selama 16 minit di tengah padang, kelibat Luqman Hakim sudah cukup membangkitkan keterujaan para penyokong dan peminat bola sepak tempatan.

Sebelum ini, mereka ternanti-nantikan aksi sulung Luqman Hakim bersama kelab liga utama Belgium itu selepas dia beberapa kali diberi kepercayaan membarisi skuad Bawah 23 tahun (B-23) KV Kortrijk.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, penampilan sulung Luqman Hakim bersama skuad utama KV Kortrijk itu adalah satu permulaan baginya untuk membuktikan keupayaan sebenar.

“Ia adalah proses biasa yang pernah dilalui oleh pemain-pemain ternama dunia sebelum ini. Proses ini bertujuan untuk mematangkan lagi pemain-pemain sebelum mereka diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi kelak.

“Bagi saya apa yang dilakukan barisan kejurulatihan KV Kortrijk adalah tindakan yang tepat dan betul kerana aa adalah proses untuk ‘membangunkan’ pemain, tambahan pula Luqman Hakim bukannya pemain ternama dunia dan dia harus diuji terlebih dulu.

“Namun, setakat ini Luqman Hakim telah menunjukkan tanda aras yang baik menerusi kesungguhan pada sesi latihan, perlawanan persahabatan dan itu sudah cukup bagus buat pemain muda sepertinya.

“Dia tidak naik mendadak dan melalui peringkat demi peringkat. Kini dia mula diberikan kepercayaan untuk beraksi dengan pasukan utama KV Kortrijk dan saya anggap itu satu permulaaan yang positif,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Azlan berharap Luqman Hakim dapat terus mengekalkan disiplin serta prestasinya untuk terus memikat hati barisan kejurulatihan KV Kortrijk terutama pengendalinya, Yves Vanderhaeghe.

“Luqman Hakim perlu terus berusaha agar dia diberikan peluang lagi untuk beraksi bersama skuad utama KV Kortrijk. Dia dah tunjuk kebolehan dirinya apabila menjadi ‘punca’ KV Kortrijk memperoleh gol tunggal.

“Saya percaya jika Luqman Hakim terus mendapat kepercayaan beraksi dalam skuad utama KV Kortrijk, dia mampu menyerlahkan lagi potensi yang ada dalam dirinya,” ujarnya.

Pada aksi di Stadium Guldensporen, Kortrijk awal pagi semalam, Luqman Hakim dimasukkan sebagai pemain gantian yang menyaksikan KV Kortrijk tewas 1-3 kepada Anderlecht yang dibimbing bekas kapten Manchester City, Vincent Kompany.

Walaupun beraksi dalam baki tempoh 16 minit, bekas pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu berjaya memberi impak dengan gerakan serta lariannya sehingga membolehkan KV Kortrijk dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan.