X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan ambil risiko kunjungi pusat beli-belah

Dr Fauziah dan Dr Ahmed Razman
A
A

SHAH ALAM - Berani mengambil risiko dan tiada halangan mengunjungi pusat membeli-belah antara faktor yang menyebabkan orang ramai tetap mengunjunginya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya serta Sabah.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, mereka mempunyai alasan tersendiri untuk mengunjungi pusat membeli-belah antaranya membeli keperluan harian, menghilangkan tekanan dan bosan.

“Mereka berani mengambil risiko mengunjungi pusat membeli-belah kerana melihat ramai pesakit wabak koronavirus (Covid-19) gelombang ketiga selamat. Ketakutan terhadap penyakit ini juga tidak seperti gelombang pertama dan kedua penularan Covid-19.

“Ramai yang tidak takut kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti Covid-19 selamat, malah mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 pula adalah daripada golongan mereka yang berisiko kerana mengalami penyakit kronik seperti kencing manis. Ini menyebabkan mereka mengambil mudah mengenainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun, Dr Fauziah berkata, mereka perlu mengikuti dan mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan sentiasa mencuci tangan seperti mana yang ditetapkan oleh pihak berkuasa ketika berada di pusat membeli-belah.

“Kita tidak boleh menghalang mereka ke pusat membeli-belah kerana tidak ada penguatkuasaan untuk masuk ke sana. Berkaitan urusan ekonomi dan perniagaan pula, kerajaan tidak dapat tutup pusat membeli-belah.

"Jadi rakyat Malaysia perlu prihatin untuk menjaga keselamatan dan membantu kerajaan mengurangkan kos perubatan dengan memutuskan penyebaran Covid-19.

“Semua orang tahu penularan Covid-19 akan mengambil masa yang lama untuk pulih, maka kita perlu menyokong tindakan kerajaan. Sekiranya ada dalam kalangan mereka yang demam dan selesema, mereka perlu ada kesedaran sivik untuk berada di rumah, jangan sebarkannya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pada masa kini ramai pembeli tidak lagi mengunjungi pusat membeli belah kerana bimbang jangkitan Covid-19.

“Banyak peniaga yang beroperasi di pusat membeli belah sebenarnya mengeluh bahawa perniagaan mereka agak lembap.

“Sentimen tidak mengunjungi pusat membeli belah ini dijangka berlarutan sehingga ke akhir tahun ini selagi lengkuk jangkitan Covid-19 tidak berjaya dilandaikan dan tiada vaksin untuk Covid-19,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan perlu meneruskan inisiatif di bawah pelan rangsangan ekonomi seperti bantuan sara hidup, subsidi upah dan dana kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memastikan kadar pengangguran terkawal serta PKS masih mampu meneruskan perniagaan mereka.

Pelaksanaan PKPB berkuat kuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak 14 Oktober lalu selama 14 hari, sementara di Sabah bermula dari 12 Oktober hingga 26 Oktober ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!