Selesaikan masalah Covid-19 sebelum laksana PRU

AHMAD AMZAD
AHMAD AMZAD
A
A
A

SHAH ALAM - Kemelut politik yang sedang melanda negara ketika ini boleh diselesaikan menerusi Pilihan Raya Umum (PRU), bagaimanapun masanya tidak sesuai kerana negara masih dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim sebaliknya berkata, masalah penularan pandemik Covid-19 perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum melaksanakan PRU.

"Sekiranya keadaan mengizinkan, kita memang setuju PRU diadakan. Masalah sekarang ini ialah kita kena selesaikan dahulu Covid-19. Jika pandemik ini selesai, keadaan lebih baik.

"Apabila keadaan menjadi lebih baik dan sesuai, apa-apa proses boleh diambil bagi membolehkan isu politik ini dilaksanakan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian mengulas mengenai spekulasi sesetengah pihak yang mengaitkan cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat sebagai cara mengelakkan berlakunya pilihan raya.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, fokus pertemuan antara Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Agong semalam bukan kerana kerajaan mahu mengekalkan kuasa, sebaliknya berkaitan soal menjaga kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, beliau menyokong saranan agar semua pihak khususnya di pihak pembangkang supaya menunggu keputusan yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Serah kepada kebijaksanaan sebagaimana yang kita tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja Raja tidak melihat seperti mana ahli politik yang mempunyai kepentingan kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Sebab Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kepentingan. Kepentingan Agong adalah (sebagai) ketua negara yang bertanggungjawab ke atas kesejahteraan negara keseluruhannya," katanya.