Mengurus darurat politik

A
A
A

KERAJAAN dijangka mengumumkan darurat politik bagi menggantung sidang Parlimen sehingga satu tarikh yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) yang baharu.

Itu semua bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong yang akan mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Raja-raja Melayu.

Keputusan penggantungan Parlimen dan darurat mudah difahami kerana kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin secara umumnya telah jatuh apabila beberapa orang ahli Dewan Rakyat blok kerajaan telah melahirkan penarikan sokongan terhadap beliau.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyerahkan beberapa pucuk surat Presiden parti kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan sokongan kepada beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika tidak jatuh kerana surat Anwar, sidang Dewan Rakyat pada November ini hampir pasti menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ramai bertanya mengapa Muhyiddin tidak letak jawatan sahaja dan serahkan kepada Anwar? Realitinya tiada sesiapa mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

Mereka yang meninggalkan Muhyiddin belum tentu menyokong Anwar. Selain itu, ahli Dewan Rakyat blok pembangkang daripada kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak menyokong Anwar.

Negara berhadapan krisis pentadbiran yang serius kerana Belanjawan 2021 dipercayai tidak akan mendapat kelulusan. Apabila belanjawan tidak lulus, kerajaan tidak boleh melakukan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan untuk 2021.

Artikel Berkaitan:

Dalam keadaan itu, PRU yang baharu perlu dijalankan dengan segera dan paling awal ia boleh dilaksanakan adalah penghujung Januari atau awal Februari 2021. Kerajaan yang baharu hanya dapat dibentuk pada Februari 2021 dan sidang Dewan Rakyat pertama untuk meluluskan Belanjawan 2021 paling awal boleh diadakan pada Mac 2021.

Dalam senario itu, Belanjawan 2021 hanya akan diluluskan pada April 2021. Bagaimana kerajaan akan berfungsi selama empat hingga lima bulan tanpa kelulusan pengurusan kewangan daripada Parlimen?

Apatah lagi ketika ini kita sedang berperang dengan koronavirus (Covid-19) yang memerlukan perbelanjaan besar dan segera. Justeru, atas sebab itu negara tidak boleh dibenarkan berada dalam krisis pentadbiran sedemikian rupa.

Dalam keadaan normal, Perdana Menteri sewajarnya memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau telah hilang sokongan dan memohon pembubaran Dewan Rakyat bagi satu PRU baharu dengan segera.

Proklamasi

Namun, kita sekarang berada dalam keadaan tidak normal. Penularan Covid-19 kembali meningkat dan boleh menjejaskan keselamatan rakyat sekiranya diadakan PRU.

Walaupun pada minggu lalu saya menulis bahawa kita perlu belajar mengadakan pilihan raya dalam keadaan Covid-19, namun jumlah penggunaan katil hospital dan fasiliti kesihatan untuk Covid-19 yang telah mencapai lebih 50 peratus kapasiti memerlukan kita memperlahankan sebentar pergerakan sosial rakyat.

Pada hemat saya, proklamasi darurat politik tidak dapat dielakkan tetapi harus ada garis panduan yang jelas. Agong dan Majlis Raja-raja Melayu wajar menggariskan had dan batas darurat agar kuasa darurat tidak disalah guna Kabinet.

Antara yang patut dipertimbangkan adalah proklamasi darurat harus menyatakan dengan jelas tempoh penggantungan Parlimen dan tarikh PRU akan diadakan. Tempoh penggantungan Parlimen yang panjang akan menyebabkan proses semak dan imbang tidak berfungsi. Ia akan membuka ruang kepada penganiayaan, salah guna kuasa dan keputusan kerajaan yang semberono.

Rakyat tidak perlu khuatir kerana darurat yang bakal diisytiharkan tidak akan menghalang aktiviti ekonomi, sosial dan perundangan sedia ada. Tidak ada kawalan ketenteraan atau pemerintahan tentera.

Namun, jika berlarutan ia boleh menyebabkan hak dan kebebasan rakyat akan ditindas oleh pemerintah.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)