Pekerja kilang maut tersepit antara dua mesin

Anggota bomba membantu mengangkat mangsa sebelum menyerahkan kepada pihak polis dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Jalong Tinggi, Sungai Siput hari ini. Gambar kecil: Teh Boon Heng
Anggota bomba membantu mengangkat mangsa sebelum menyerahkan kepada pihak polis dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Jalong Tinggi, Sungai Siput hari ini. Gambar kecil: Teh Boon Heng
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang pekerja kilang maut akibat tersepit antara dua mesin pengangkut batu-bata di sebuah kilang di Jalan Jalong Tinggi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Teh Boon Heng, 47, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan batu-bata.

"Mangsa dikatakan terperangkap antara mesin berkenaan menyebabkannya tersepit pada bahagian badan.

"Polis yang tiba bersama pegawai kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku akibat kecuaian ketika menjalankan kerja.

"Polis memanggil beberapa rakan sekerja dan pengurusan syarikat untuk diambil keterangan. Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput menerima panggilan kejadian berkenaan pada jam 4.07 petang, namun mangsa berjaya dikeluarkan oleh pekerja kilang sendiri.

Artikel Berkaitan:

Anggota yang tiba kemudian membantu mengangkat mangsa sebelum menyerahkan kepada pihak polis.